‘Kaji Syarat Wajib Tayang’



Rap
FILEM terbaru terbitan dan arahan Afdlin Shauki, Los dan Faun memperoleh RM1.2 juta kutipan tiket selepas 10 hari ditayangkan di pawagam.

Dinilai dari modal yang dikeluarkan produksi milik Afdlin, Vision Works (M) Sdn Bhd untuk menghasilkan filem ini, ternyata ia masih jauh dari sasaran memperoleh kutipan balik modal.

Situasi dihadapi Afdlin turut menimbulkan kebimbangan kepada ramai penerbit filem lain.

Malah punca berlakunya kutipan tiket lesu ini dipercayai daripada syarat wajib tayang diwujudkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang dianggap tidak lagi relevan dengan situasi sekarang.

Waktu tayangan Los dan Faun yang pembikinannya menelan belanja RM1.8 juta tersepit antara dua filem tempatan lain iaitu Antoo Fighter dan Cicak-Man 2.

Tiga filem ini terpaksa bersaing sesama sendiri dan pada waktu sama Los dan Faun turut berhadapan dengan saingan filem mega dari Hollywood iaitu Transpotter dan The Day The Earth Stood Still.

Afdlin yang dihubungi bagi mendapatkan perkembangan terkini filem arahannya menjelaskan, antara sebab syarat wajib tayang dikatakan tidak lagi relevan kerana industri sudah jauh berubah.

Dalam temu bual bersama wartawan Rap, Rudy Imran Shamsudin (imran@hmetro.com.my) Afdlin menegaskan sebagai satu badan yang menjaga kepentingan industri sudah tiba masanya Finas melihat dan menilai kembali fungsinya untuk kebaikan semua penggiat filem tempatan.

Soalan (S): Sebagai penerbit dan pengarah adakah anda kecewa dengan jumlah kutipan Los dan Faun?

Jawapan (J): Sudah tentu saya kecewa kerana filem ini memerlukan sekurang-kurangnya RM3 juta untuk memastikan ia balik modal. Jangkaan awal saya filem ini berjaya atas beberapa faktor yang mampu memuaskan hati penonton tempatan seperti temanya berbeza daripada apa yang pernah dihasilkan sebelum ini, kualitinya dijaga dan ia membariskan nama besar seperti A.C Mizal, Hans Isaac, Adlin Aman Ramlie, Ida Nerina dan Erra Fazira.

S: Sekiranya semua formula sudah ada, di mana silapnya?

J: Pertamanya jumlah penonton filem tempatan semakin berkurangan dan ia ditambah lagi dengan syarat wajib tayang dilaksanakan Finas. Bayangkan sepanjang Disember ini tiga filem tempatan ditayangkan selang seminggu menyebabkan ia tidak ada ruang untuk mengumpul jumlah penonton yang sepatutnya.

Tambahan pula pembikinan ketiga-tiga filem ini menelan belanja besar iaitu Antoo Fighter (RM2.5 juta) dan Cicak-Man 2 (RM3 juta). Dengan jumlah penonton yang kecil bagaimana tiga filem ini termasuk Los dan Faun hendak mencatat kutipan tiket besar. Ini tidak termasuk saingan diterima daripada filem luar.

S: Mengapa tidak menarik balik tayangan Los dan Faun apabila melihat ia tersepit di tengah dua lagi filem tempatan berbajet besar?

J: Perkara ini harus dilihat balik kepada kepincangan yang wujud dalam syarat wajib tayang diwujudkan Finas. Pada saya syarat wajib tayang relevan apabila industri kita mengalami kemerosotan dan kemelesetan tetap sekarang kita mempunyai 28 hingga 34 filem setahun.

Undang-undang dalam syarat wajib tayang menyatakan filem yang ditarik keluar dari tarikh tayangan ditetapkan tidak boleh ditayangkan dalam tempoh tiga bulan. Kemudian ia harus beratur kembali untuk mencari tarikh baru dan untuk mendapatkan tarikh baru selalunya mengambil masa tiga hingga enam bulan.

Sebagai penerbit yang berhutang dengan bank, untuk menghasilkan filem saya tidak boleh mengambil risiko kerana ia akan menyebabkan saya menanggung hutang dan bunga.

Pada saya dalam berhadapan dengan situasi ini seharusnya Finas menggubal kembali undang-undang yang dibuat seperti memberi tempoh tayangan dua minggu untuk filem tempatan dan memaksa pemilik pawagam membuka satu lagi panggung tambahan. Sekiranya ini tidak dilakukan segera akibatnya penerbit seperti saya akan tertekan dan ditindas.

S: Adakah cadangan yang anda nyatakan ini mampu membantu penerbit filem tempatan?

J: Sekiranya wakil kerajaan yang dipertanggungjawabkan dalam memastikan industri perfileman berkembang dan mampu menjana ekonomi tempatan ia harus dilaksanakan. Lagipun sebelum ini kita sering memperkatakan mengenai filem tempatan ke era globalisasi tetapi sekiranya kebanyakan karya dihasilkan gagal di tempat sendiri hanya kerana masalah birokrasi, nampaknya tidak gunalah kita berusaha lebih.

Saya tahu kebanyakan daripada penerbit yang menghasilkan filem berbajet besar seperti Azizi dan Yusry (pengarah Cicak-Man 2) mahu menghasilkan sesuatu yang berbeza dan bermutu.

Ia sebahagian usaha untuk memartabatkan industri perfileman tempatan, namun kerana masalah dihadapi seperti apa yang saya dan Azizi lalui sekarang tidak gunalah kita keluar belanja besar.

Hasilkan saja filem yang kosnya hanya setengah juta dan mutu ala kadar untuk orang kita tengok. Dapat untung sikit sudah puas hati. Tapi jika tindakan ini diambil semua penerbit dan pengarah filem tempatan akibatnya industri kita tidak ke mana dan sampai bila-bila akan berada di takuk lama.

S: Mungkin ada cara lain untuk Los dan Faun memperoleh modalnya kembali?

J: Hendak diikutkan saya bersyukur juga kerana dalam berhadapan dengan masalah tersepit antara dua lagi filem tempatan lain dan selepas 10 hari tayangannya, Los dan Faun sudah memperoleh kutipan lebih RM1 juta. Hingga sekarang ia masih ditayangkan dan harapan saya dalam tempoh ini ia mampu membuat kutipan lebih tinggi.

Bagaimanapun hendak mengharap lebih susah memandangkan seperti yang dikatakan tadi, saya bersama dua penerbit lain perlu berkongsi jumlah penonton yang sedikit dan modal yang dihasilkan ketiga-tiga filem ini agak besar.

Seperti saya, penerbit filem kecil dan bukan korporat harus berusaha sendiri dalam mempromosikan karya dihasilkan, dan ini memberikan cabaran yang lebih.

S: Apakah penerbit kecil seperti anda mampu terus hidup jika situasi yang dihadapi Los dan Faun berterusan pada masa akan datang?

J: Pastinya tidak, apatah lagi baru-baru ini sewaktu saya berkesempatan ke Sabah bagi mempromosikan filem ini, saya lihat di papan iklan gergasi di tepi jalan kebanyakan poster filem dipaparkan semua karya luar. Susah untuk kita lihat poster filem tempatan terpampang di papan iklan itu.

Pada saya apa kata Finas mengambil inisiatif membantu penggiat filem tempatan dengan mengambil dua atau tiga papan iklan di setiap bandar utama dan menggantungkan poster filem tempatan yang mahu atau sedang ditayangkan bagi mewujudkan kesedaran kepada penonton.

Seperkara lagi dan perkara ini pernah saya nyatakan sebelum ini, pembabitan syarikat korporat dan swasta dalam membantu perkembangan industri perfileman tempatan juga penting. Dalam melaksanakan perkara ini agensi kerajaan berkaitan boleh memainkan peranan penting.

Pertamanya, kepada syarikat korporat dan swasta yang membabitkan diri dengan menaja filem tempatan seharusnya potongan cukai dikenakan dapat dikurangkan. Jika tiada imbuhan diberikan pastinya tiada syarikat besar mahu membantu penggiat seperti kami, kerana pada mereka buat apa membantu penerbit dan pengarah filem tempatan jika mereka tidak memperoleh sebarang imbuhan atau kelebihan. Bagaimanapun setakat ini saya lihat dua syarikat gergasi telekomunikasi Celcom dan penerbangan tambang murah AirAsia sudah mula membantu.

S: Harapan anda selepas meluahkan pendapat diberikan?

J: Agar satu penyelesaian terhadap masalah berlaku dapat diambil. Sebenarnya perkara sama sudah berlaku kepada saya iaitu sewaktu filem Sumolah ditayangkan. Waktu itu filem saya dihimpit filem blockbuster Hollywood iaitu Spiderman dan Pirates Of The Carribean. Saya cuba tarik dari tarikh tayangan ditetapkan tetapi Finas tidak membenarkannya. Selepas ini filem saya terbaru Berani Punya Budak akan ditayangkan. Harap-harap ia tidak bersaing dengan filem tempatan lain. Ia juga akan ditayangkan di Thailand.

Harian Metro

This entry was posted in Adlin Aman Ramlie, Erra Fazira, Hans Isaac, Ida Nerina. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>