Ramai Artis Realiti Ke Separuh Akhir



Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Rap
PENYERTAAN ramai artis dari program realiti televisyen melayakkan diri ke Separuh Akhir Muzik-Muzik tidak menjadi isu dan pertikaian kerana kehadiran mereka bukan saja merancakkan pertandingan, malah membuktikan kualiti mereka setanding dengan artis lain.

Malah program berkonsepkan realiti yang mula diperkenalkan TV3 menerusi rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan lebih sedekad lalu terbukti menjadi platform mencari pelapis berbakat yang mendapat sambutan ramai.

Pengurus Penerbitan Hiburan Primeworks Studios Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria, berkata kemunculan begitu banyak bintang realiti dalam pertandingan kali ini tidak seharusnya dipertikaikan kerana populariti dan kualiti mereka diikitiraf ramai sehinggakan ada yang mencipta lagu sendiri.

“Inilah pelapis untuk menyambung industri muzik pada masa akan datang. Ia tidak menjadi isu lagi sekarang ini kerana apa yang dipertandingkan adalah lagu dan bukannya penyanyi sesuai dengan namanya Anugerah Juara Lagu,” katanya ketika sidang media Separuh Akhir Muzik-Muzik di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Seperti tahun sebelumnya, pertandingan peringkat separuh akhir dipecahkan kepada tiga kategori. Apa yang mengejutkan, seramai tujuh artis artis realiti mendominasi kategori balada serta masing-masing empat bagi kategori etnik kreatif dan pop rock.

Pertandingan separuh akhir ini akan disiarkan secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam setiap Jumaat jam 9 malam yang dipecahkan kepada tiga kategori iaitu Etnik Kreatif (28 November), Balada (5 Disember) dan Pop Rock (12 Disember).

Kata Fadzliniza, lagu yang layak dipertandingkan untuk Muzik-Muzik Separuh Akhir diplih melalui undian dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu itu dalam carta mingguan Muzik-Muzik.

“Sebanyak 104 lagu dari tiga kategori ini dicalonkan sepanjang Muzik-Muzik 2008 namun hanya 34 lagu sahaja yang berjaya ke pusingan separuh akhir sebelum mara ke peringkat akhir untuk layak menggengam trofi Anugerah Juara Lagu ke-23.

“Seperti tahun lalu juga, kategori etnik kreatif masih kurang memberangsangkan dari segi jumlah penyertaan dan nampaknya kategori balada serta pop rock terus menguasai pencalonan.

“Mengenai kurangnya penghasilan album dan percantuman syarikat rakaman, bagi saya ia tidak menjejaskan mutu lagu yang dipertandingkan kerana ia mempunyai penilaian tersendiri. Malah terbukti kategori pop rock dan balada memberikan saingan sengit,” katanya.

Bagaimanapun, jumlah lagu yang akan mewakili setiap kategori bertanding ke Anugerah Juara Lagu belum lagi diputuskan kerana ia bergantung kepada jumlah markah separuh akhir. Tetapi tidak mustahil jumlah lagu yang mewakili kategori balada dan pop rock akan lebih banyak layak ke peringkat akhir berbanding kategori etnik kreatif berdasarkan jumlah penyertaan yang sedikit seperti tahun lalu.

Anugerah Juara Lagu bukanlah pertandingan di antara lagu semata-mata. Selain daripada artis yang membuat persembahan, banyak lagi aspek dan ciri-ciri penting lain yang diambil kira dalam pemberian markah.

Misalnya, format pemarkahan separuh akhir berdasarkan markah persembahan pada malam pertandingan dicampur dengan markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan bagi mendapat markah keseluruhan. Hanya lagu yang mendapat markah tertinggi layak ke Anugerah Juara Lagu ke-23 yang akan berlangsung pada 18 Januari 2009.

Sementara itu, Faizal Tahir yang mempertaruhkan dua lagu dalam kategori balada menerusi lagu Sampai Syurga dan Cuba menyifatkan kehadiran ramai muka baru yang pertama kali layak ke separuh akhir membuktikan mereka juga berpotensi besar dan diiktiraf ramai.

“Persaingan kali ini memang sengit kerana semua lagu yang bertanding hebat belaka. Saya tidak menaruh harapan tinggi, tetapi kalau layak ke peringkat akhir ia satu bonus,” kata penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi One In A Million itu.

Mila yang juga layak ke separuh akhir dengan dua lagu iaitu Mila Bila Cinta dan Aku Lebih Tahu berkata, dia tidak meletakkan harapan menggunung, sebaliknya menyerahkan kepada peminat dan juri untuk menentukannya.

“Saya hanya berusaha keras untuk kedua-dua lagu itu dan tidak melebihkan yang mana satu. Bagi saya, setiap penyanyi mempunyai peluang sama rata dan banyak faktor yang perlu dilihat kerana masing-masing ada kelebihan dan kekurangan,” kata juara Akademi Fantasia musim kelima itu.

Pengacara untuk Muzik-Muzik Separuh Akhir masih mengekalkan gandingan serasi Cheryl Samad dan Faizal Ismail. Manakala sidang produksi pula terdiri daripada Khalijah Mohamed (Penerbit Eksekutif), Roslina Abd Rahman (Penerbit), Nor Shafina Ahmad (Penolong Penerbit), Intan Suraya A Kadir (Pengarah Kategori Etnik Kreatif), Annie Safinas Hassan (Pengarah Kategori Balada) dan Farina Pahruddin (Pengarah Kategori Pop Rock).

KATEGORI ETNIK KREATIF

1) Doa Dalam Lagu – Mawi & Heliza (Ajai/Loloq)

2) Lambaian – Fazli Zainal (Sang Dewi/Ahmad Fedtri Yahya)

3) Dusta Berkalang – Aiman (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya)

4) Persoalan Cinta – Farawahida (Julfekar/Ku Seman/Izza Rosley)

5) Songo – Amy Search (Edrie Hashim/Ahmad Farid)

6) Panas – Ifa Raziah (Cat Farish/Adeeb)

7) Pujangga Merindu – Syura (Radeen Sri/Hairul Anuar Harun)

8) Jarak Rindu – Azfar (M Nasir/Seth)

9) Puteri Tarian Kasih – Anis Aneesa (Adnan Abu Hassan/Faris)

10) Mengharap Sinar – Dior (Dior/Khairafik)

KATEGORI BALADA

1) Sampai Syurga – Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir)

2) Bila Nak Saksi – Spider (Tam/Loloq)

3) Dingin – Ziana Zain (Azlan Abu Hassan/Azalea)

4) Sejauh Ini – Dina (Sharon Paul/Ahmad Fedtri Yahya)

5) Teman Terulung – Anuar Zain (Azalea)

6) Hanya Di Mercu – Ayu (Aubrey Suwito/Habsah Hassan)

7) Ada Untukmu – Nubhan (Zetty/Abie Abdullah)

8) Tanpa – 6ixth Sense (Gjie/Wan)

9) Bila Terasa Rindu – Dafi (Edry Abdul Halim)

10) Cinta Terhalang – Bob (Sharon Paul/Shimy)

11) Cuba – Faizal Tahir (Audi Mok/Faizal Tahir)

12) Lagu Kita – Aizat (Aizat)

KATEGORI POP ROCK

1) Kalis Rindu – Elyana (Aidit Alfian/Ad Samad)

2) Mila Bila Cinta – Mila (Audi Mok/Ad Samad)

3) Separuh Masa – The Lima (Edry Abdul Halim)

4) Bukti – Fiq (Tony Iskandar/Loloq)

5) Cinta Si Rama-Rama – Hattan (Edrie Hashim)

6) Lagu Untukmu – Meet Uncle Hussien (Taja/Tass/Lan)

7) Yang Pernah – Estranged (Estranged)

8) Mabuk – Spider (Tam/Loloq)

9) Ku Merindu – Shah & Ella (Datuk Syed Elias Syed Ahmad)

10) Aku Lebih Tahu – Mila (Ajai/Loloq)

11) Aku Stacy – Stacy (Intan Norul Azlin/Layla Ismail)

12) Rimas – The Faboulous Cat (Cat Farish/Roxy Tail)

Harian Metro

This entry was posted in Akademi Fantasia, Amy Search, Anuar Zain, Cat Farish, Cheryl Samad, Faizal Tahir, Farawahida, Hattan, M.Nasir, One In A Million, Ziana Zain. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>