Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

AZNIL menerima cendera hati daripada Rohana atas kecemerlangannya.
Peluang mengerjakan haji dan dua kemenangan serentak paling bermakna
AWAL Disember nanti berangkatlah pengacara dan penyampai Era, Aznil Nawawi berseorangan diri menyambut panggilan Kaabah sekali gus menunaikan rukun Islam kelima. Siapa sangka, tanpa perlu menunggu lama, tiba-tiba peluang untuk mengerjakan ibadah Haji terbentang luas buat pengacara nombor satu negara ini.
Rezeki tuhan, memang tiada siapa dapat menduga. Justeru, apabila mendapat tahu namanya tersenarai untuk menjadi tetamu Allah tahun ini, Aznil menyambut berita itu dengan penuh kesyukuran. Malah menurut Aznil segala urusannya untuk membolehkannya menunaikan ibadah itu seolah-olah dipermudahkan Tuhan.
“Bayangkan, sepatutnya pada waktu itu saya terbabit dengan rakaman program Tom Tom Bak tapi entah mengapa disebabkan masalah tempahan studio, maka program itu dianjakkan pada tarikh lain. Jadi saya mempunyai masa yang secukupnya untuk melakukan ibadah itu.
“Jadi, sebaik saja pulang dari Haji nanti saya akan akan terus membuat rakaman program Tom Tom Bak. Saya bersyukur kerana apa yang berlaku seumpama satu keajaiban buat saya,” kata Aznil pada majlis meraikan kemenangannya di Anugerah Skrin 2008, awal bulan lalu. Program Macam-Macam Aznil kendaliannya memenangi kategori Rancangan Bual Bicara Terbaik untuk tiga tahun berturut-turut, iaitu satu pencapaian peribadi terbaik buat selebriti popular dan ternama ini.
Pada majlis itu dia melahirkan kegembiraannya kerana hasil kerjanya mendapat perhatian pihak Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) apabila badan itu memberi pengiktirafan berupa Hadiah Galakan Ketrampilan Melayu atas usahanya memartabatkan bahasa itu ketika mengendalikan programnya.

BERGAMBAR kenangan bersama team produksi Macam-Macam Aznil.
Hadir sama memeriahkan acara makan malam yang ringkas dan agak eksklusif ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif Astro TV, Rohana Rozan,Pengurus Besar Astro Awani, Rozina Aziz; Pengurus saluran Prima, Khairul Anwar Salleh; Pengurus Saluran Oasis, Izelan Basar, keluarga Aznil, krew produksi Macam-Macam Aznil dan wakil media.
Semakin dekat tarikh pemergiannya, semakin bercampur baur perasaan dan gelodak jiwa lelaki ini.
Jelas Aznil, tidak dapat dia membayangkan bagaimana rasanya melihat lautan manusia dari serata dunia di depan mata.
“Saya akui, perasaan saya ketika ini cukup gementar. Sebelum ini sewaktu mengerjakan umrah, mereka yang datang ke Makkah tentu tidak seramai mereka yang datang untuk mengerjakan Haji. Bayangkan berjuta manusia dari seluruh dunia datang ke situ semata-mata untuk mencari keredaan Ilahi.

NORA (depan, dua dari kanan) banyak memberi nasihat dan pandangan sewaktu Aznil berdepan masalah.
“Pun begitu, saya memang tak sabar untuk ke sana. Di sana tidak siapa kenal saya dan saya hanya bawa diri, dan serahkan diri ini kepada Tuhan. Memang tak dapat bayangkan,” jelas Aznil dalam nada teruja.
Walaupun seronok menghitung hari untuk ke Makkah namun terselit juga perasaan gusar dalam hatinya.
Kata Aznil, selagi dirinya tidak sampai ke sana, selagi itulah perasaan bimbang menguasai diri.
“Iyalah, kita tak tahu apa yang akan berlaku pada kita selepas ini. Jadi saya mengharapkan doa dari kawan-kawan supaya semuanya selamat terutama dari segi kesihatan dan semua urusan untuk saya menunaikan ibadah Haji dipermudahkan Tuhan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Aznil enggan berjanji untuk melakukan sebarang perubahan pada rancangan kendaliannya sebaik saja selesai mengerjakan Haji kelak.
“Saya tidak mahu berjanji apa-apa. Saya serahkan kepada Tuhan untuk mengaturNya. Tapi saya harap kembalinya ke tanah air, saya ingin menjadi lebih baik dari dulu. Ingin lebih disayangi adik beradik, anak-anak, rakan serta peminat,” lafaznya penuh ketulusan.
Aznil yang mula berehat dari bekerja selama sebulan mulai esok berkata, menjadi impiannya untuk membawa dua anaknya untuk mengerjakan Haji suatu hari nanti.
“Sebagai bapa, sudah semestinya saya menyimpan hasrat untuk membawa mereka. Insya-Allah, saya berdoa semoga satu hari nanti impian itu akan dimakbulkan. Tapi, buat masa ini biarlah saya seorang diri ke sana, nanti bila saya sudah dapat membiasakan diri, barulah kami akan kembali ke sana,” katanya.
Tinggalkan Kring! Kring!?
MINGGU terakhir Ogos menjadi minggu terakhir program Kring! Kring! di siarkan di saluran Astro Ria kerana selepas itu program sensasi yang menjadikan gosip hangat sebagai topik utama itu ditamatkan selepas 13 episod bersiaran.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada khabar berita yang kedengaran sama ada program yang ke udara setiap hari Ahad itu akan kembali bersiaran atau terus berkubur. Namun, persoalannya, jika benar program itu ke udara kembali, apakah Aznil akan kekal mengendalikannya ataupun tanggungjawab itu akan diserahkan kepada orang lain.
Ketika diajukan pertanyaan itu kepada si empunya diri, agak sukar untuk Aznil untuk menjawabnya. Bagi Aznil, dia bimbang perkara itu akan disalahertikan banyak pihak.
“Saya cuma risau tanggapan orang, apakah yang akan mereka katakan nanti jika saya masih mengacarakan program seperti ini selepas mendapat gelaran Haji. Tapi apapun, saya serahkan perkara itu kepada ketentuan tuhan sekembalinya saya dari sana nanti,”balas Aznil memberikan jawapan selamat.
Kakak jadi tempat rujuk
TIDAK ada orang lain yang lebih mengenali Aznil selain darah dagingnya sendiri. Justeru kehadiran adik beradiknya pada majlis itu memberikan peluang kepada media untuk mendasari hati kakak sulungnya, Nora Nawawi mengenai adik lelakinya itu.
Sebagai kakak, Nora mengakui Aznil banyak merujuk padanya serta mendapatkan nasihat sekiranya dia berdepan dengan masalah yang membabitkan kerjaya seninya.
“Selalunya masalah yang dihadapi adalah kritikan yang dilemparkan menerusi saluran @15. Sebagai kakak yang juga boleh dikatakan sebagai pengkritik setia, mahu atau tidak, suka ataupun tak, saya harus tengok komen yang di tulis di situ.
“Dan dari situ saya akan memberikan nasihat dan pandangan terhadap komen yang ditulis. Selepas itu barulah dia akan lebih tenang sambil menganggap, pandangan saya itu juga akan sama dengan pandangan orang lain,” katanya.
Mengimbas kembali di saat-saat awal Aznil menceburkan diri dalam bidang yang penuh glamor ini, Nora berkata perkara itu tidaklah semudah yang disangka.
“Hasrat Aznil untuk menjadi artis pada awalnya ditentang arwah bapa. Namun selepas Aznil memberikan jawapan yang dia sudah pun menunaikan impian bapa untuk belajar sehingga ke universiti serta ingin membentuk kehidupannya sendiri, barulah bapa mengalah.
“Pun begitu sempat juga di menitipkan pesanan pada Aznil supaya tabah menghadapi cabaran sebagai anak seni kerana dia tahu bukan calang-calang orang boleh berdepan dengan dugaan yang akan dilalui nanti,” imbas Nora lagi.
Sambil menyifatkan kejayaan Aznil sebagai sesuatu yang membanggakan keluarga mereka, Nora berkata melihat kepada kesungguhan Aznil, semua kejayaan yang diraihnya itu memang layak untuknya.
“Sejak kecil lagi dia memang suka bergaya, berfesyen dan gemarkan perhatian. Namun untuk mencapai ke tahap ini, saya tahu dia banyak berkorban dan berusaha gigih. Jadi sewajarnya dia mendapat penghargaan itu,” kata Nora sambil menyifatkan Aznil sebagai penyeri keluarga kerana sikapnya yang kecoh itu.
Berita Harian