Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

FAHRIN dan Eja melayan pengunjung yang hadir.
Pelbagai gaya dan gelagat daripada pelakon, penyanyi dan personaliti dalam jualan amal kek coklat selebriti
RUANG legar pusat membeli belah Great Eastern Mall, Jalan Ampang begitu padat dengan pengunjung.
Bukannya ada pertunjukan ataupun kerana berlangsungnya karnival jualan murah. Sebaliknya, mereka berpusu-pusu membanjiri kawasan itu adalah kerana ingin melihat dengan lebih dekat wajah selebriti terkenal yang menyertai acara amal.
Inilah yang dapat dilihat dalam acara Jualan Amal Kek Coklat Selebriti atau Celebrity Chocolate Cake Charity Sale yang dianjurkan bersempena Kejohanan Coklat Kek Ke-2, sebuah acara tahunan oleh pusat membeli belah itu.
Jika selama ini mereka hanya melihat artis berkenaan beraksi di atas pentas, menyanyi, berlakon atau memperaga namun kali ini, peluang terbuka luas untuk menyaksikan
mereka menjadi jurujual kek coklat, yang menjadi fokus utama kepada acara amal itu.

AGAKNYA apa yang diketawakan Bill Bora, Chef Wan dan Fauziah Latiff.
Bayangkan juga bagaimana kecohnya apabila nama-nama besar industri hiburan tanah air seperti Erra Fazira dan suami, Engku Emran, Ning Baizura, Fauziah Latiff, Fazura, Noryn Aziz, Vanida Imran dan Rashidi Ishak, Eja, Fahrin, Amber Chia, Nora Dansih, Jehan Miskin, Liyana Jasmay, Diana Danielle,Khai dan Rosma, Toni Eusoff saling bersaing antara satu sama lain, merebut pelanggan supaya membeli kek coklat mereka.
Disebabkan ini kerja amal, maka setiap selebriti perlu mengatur strategi untuk menarik pelanggan untuk singgah di gerai mereka sekali gus membawa pulang sama ada
sepotong kek yang berharga RM15 ataupun sebiji kek berharga RM350.
Lucu juga apabila melihat mereka ini bertungkus lumus bagi memastikan jualan mereka itu laku. Selebriti yang jualannya paling laku dalam masa yang singkat adalah Erra Fazira dan suami, yang mewakili Equatorial Hotel.

GENERASI pelapis, Diana Danielle, Liyana Jasmay dan Julian Evans tak lepas peluang memeriahkan majlis.
“Senang saja strateginya. Kami datang awal bagi memastikan kek coklat kami lebih awal dijual. Sambil itu, saya juga memberikan syarat bahawa mana-mana peminat yang inginmengambil gambar dengan saya, mereka perlulah membeli kek ini, dan alhamdulillah, 5 biji kek sudah pun dijual.
“Sekarang ini tinggal kek yang dipamerkan saja. Kalau ada yang hendak beli, silakan. Harganya RM350 saja,” ujar pelakon jelita ini.
Walaupun kedua-duanya sibuk dengan jadual masing-masing, namun menurut Erra dia tidak kisah membabitkan diri dalam acara amal yang berbeza bentuknya ini.
“Selalunya orang akan panggil untuk buat majlis amal dalam bentuk nyanyian. Tetapi itu sudah membabitkan periuk nasi jadi bila ada acara seperti ini, saya rasa elok juga kami turut serta kerana tujuannya juga adalah untuk membantu kanak-kanak malang,” jelas Erra yang kelihatan seronok menjalankan tugas jurujual walaupun dalam keadaan berbadan dua.
Pasangan lain yang turut cemerlang dalam usaha mereka melariskan juualan mereka adalah aktor dan pengacara sensasi, Fahrin dan Eja. Sama seperti Erra, kek coklat mereka yang dihasilkan Chef Mohd Irwan dari Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur juga habis dibeli peminat. Keadaan ini mungkin disebabkan ramai yang ingin mendekati dan merakamkan foto kenangan bersama jejaka yang masih solo ini.
“Ya, itulah strategi saya juga. Jadi mana-mana yang hendak mengambil gambar kami, kenalah beli kek itu. Selain itu publisiti yang dikeluarkan sebelum ini turut membantu
ketrana ia membolehkan peminat kami datang ke sini dan memberi sokongan dengan membeli kek ini,” kata Fahrin.
Ditanya mengapakah dia begitu berminat menyertai acara amal ini, Fahrin menjadikan kelainan yang dilakukan penganjur untuk acara ini begitu memikat hatinya untuk bersama-sama selebriti popular lain menyertainya.
“Lagipun tema kek coklat itu sendiri sudah melambangkan keceriaan dan kemanisan dan ia amat bersesuaian dengan acara ini,” jawab Fahrin yang kelihatan begitu sibuk melayan kerenah peminat yang ingin bergambar kenangan dengannya.
Bukan saja peminat malah rakan artis juga turut memberi sokongan dengan membeli kek coklat yang dijual rakan seperjuangan mereka. Antara mereka yang hadir memeriahkan acara itu serta berkongsi rezeki mereka adalah Chef Wan serta pengacara sensasi, Azwan Ali. yang kelihatan turut membawa pulang sebiji kek berharga RM350.
Walaupun selebriti adalah daya tarikan utama namun tidak dinafikan, jika kek itu sendiri tidak sedap, mustahil akan ada pembelinya. Perkara ini diakui sendiri, penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura yang mewakili Mandarin Oriental Hotel. Kek Coklat yang diwakili Ning bertamakan Fantasy Flower.
“Kek coklat buatan Chef Holder Deh memang lazat kerana teksturnya cukup lembut serta mengandungi perisa kayu manis untuk melazatkan. Saya buka cakap kosong kerana perkara ini diakui sendiri Chef Wan, yang turut membeli sebiji kek dari kami,” kata Ning yang setia ditemani suami Omar Sharif sebagai tanda sokongan.
3 gadis selebriti paling kecoh
Memang bermacam ragam dan gaya dipamerkan untuk menarik perhatian pengunjung. Biarpun memang dikenali sebagai pelakon, penyanyi atau selebriti, tetapi itu tidak bermakna mesti duduk diam dengan menunggu saja pengunjung datang menghampiri mereka.
Selebriti paling kecoh dalam jualan amal kek coklat ini sudah tentu dimenangi kumpulan tiga dara iaitu Liyana Jasmay, Diana Danielle dan Juliana Evans yang mempunyai cara tersendiri untuk menarik pelanggan.
“Kami sepakat untuk menyanyi sambil bertepuk tangan semata-mata ingin menarik pelanggan. Kalau sekadar hendak pose cantik saja memang tak lakulah nampaknya,” kata Liyana yang sempat menunjukkan demonstrasi kreativiti mereka itu.
Selain penghujung acara itu, setiap kek yang dipersembahkan akan dinilai oleh beberapa orang juri sebelum mereka mengumumkan hotel manakah yang layak untuk dinobatkan sebagai juara dalam beberapa kategori yang dipertandingkan. Selepas menilai dari pelbagai sudut akhirnya juri memilih Sunway Hotel sebagai juara untuk kategori Kek Coklat Paling Kreatif manakala tempat kedua dimenangi Hotel Legend dan Berjaya Times Square Hotel pula sekadar berpuas hati di tempat ketiga.
Untuk juara keseluruhan iaitu Kek Coklat Terbaik, pemenangnya adalah Hotel Berjaya Times Square, Renaissance Hotel di tempat kedua manakala Mandarin Hotel pula, memenangi tempat ketiga. Acara ini turut disertai 14 buah hotel bertaraf 5 bintang.
Berita Harian