Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

BOLEH dikatakan, sebelum ini aktres jelita dan berbakat besar, Nur Fazura Sharifudin atau Fazura diumpamakan individu mudah melatah, selain cepat melenting.
Kemarahan wanita ini bukannya tidak bertempat, sebaliknya Fazura lekas naik angin tatkala perihal peribadi dicuit media dan masyarakat.
Kini segala-galanya berubah setelah Fazura bebas daripada pertuduhan mencederakan seorang suri rumah di sebuah kelab malam empat tahun lalu.
“Sebelum ini, saya cepat marah. Sebaik saja saya dibebaskan daripada tuduhan itu, saya terus layu. Bermacam kelainan diri mula timbul kesan daripada kes berkenaan,” ungkap Fazura semasa ditemui pada majlis kesyukuran dan rumah terbuka Aidilfitri di Restoran Puteri, Sungai Penchala hujung minggu nan lalu.
Lancar sungguh bibir gadis berusia 25 tahun ini bercerita tentang kisah silam yang pernah dilalui itu, tanpa sedikitpun berselindung. Butir bicaranya cukup matang dan bernas, menandakan diri kini melangkah setapak ke depan, menjadi insan lebih baik daripada hari sebelumnya.
Jelas Fazura, sebelum ini sikapnya cukup defensif. Pantang sahaja ada perkara tidak baik berlaku kepada dirinya, dia senang mengamuk tidak tentu pasal.
“Dulu saya memang cepat nak meradang kalau ada orang lain kacau kisah peribadi atau usik saya. Saya seboleh-bolehnya mungkin akan elakkan supaya tak ada mana-mana pihak mengguris hati saya, buat saya marah.
“Syukurlah, kini saya lebih tenang dan berkeyakinan menghadapi sebarang perkara. Sikap ini berubah secara drastik dalam diri,” sahut anak kedua daripada empat beradik ini.
Pelakon yang terkenal menerusi siri dan filem Gol & Gincu ini memberitahu, sebelum ‘terjerumus’ dalam kes berkenaan, dia mudah berang dengan pertanyaan bersifat provokasi daripada orang keliling.
Pantang sahaja ada cerita negatif tentang dirinya, maka dia pantas mempersoal perkara itu semula. Sikap buruk itu membuatkan dia dinilai sebagai pelakon berkarektor jahat sekali gus gemar mencetus kontroversi tidak berkesudahan.
“Kalau ada siapa-siapa nak cari pasal, sudah tentu saya terus bangkit mempertahankan diri. Memang saya pantang diusik masa tu.
“Setelah bebas dan melalui pengalaman memeritkan empat tahun sebelum ini, kini saya mampu mengimbangi diri, untuk berada di posisi tengah-tengah.
“Sekarang saya tak bagi orang ambil kesempatan pada diri, pada masa sama, tak jadi individu teruk,” ikrar Fazura yakin tanpa ada sebarang keraguan.

BERSAMA salah seorang emak angkatnya, Hajah Ruhani Abdul Rahman.
Disaran ambil tindakan
Empat tahun ditimpa ‘malapetaka’ besar itu, Fazura mengaku dia marah dengan individu terlibat, dek reputasi diri sebagai seorang pelakon dan model tercalar.
“Ramai kenalan suruh saya ambil tindakan semula terhadap wanita itu kerana sepanjang tempoh tersebut, saya kehilangan banyak tawaran lakonan dan peluang menjadi jurucakap produk.
“Entahlah, setakat ini saya belum ada sebarang rancangan,” tutur Fazura ringkas tentang rencana untuk melawan semula terhadap wanita yang pernah menghuru-hara hidupnya.
Begitupun, jelas Fazura, dia sudah memaafkan wanita terbabit, namun untuk melontarkan terus kejadian itu dalam fikiran, tidak sama sekali.
“Bayangkan, selama empat tahun saya menerima bermacam tanggapan tidak baik daripada orang ramai. Karier seni saya terus menurun ditambah dengan kehilangan banyak tawaran menjadi duta.
“Saya sedar dalam keadaan kes itu masih berjalan di mahkamah, sudah tentu ada sesetengah pihak tak berani mempertaruh saya untuk jadi model atau jurucakap.
“Kini setelah semuanya selesai, saya nak pandang ke depan dan lakukan apa jua demi mencapai kejayaan dalam kerjaya,” azam Fazura.

WALAUPUN adakalanya lekas naik angin, Fazura masih menjadi kesayangan banyak anggota media.
Buka diari baru
Mengharapkan tahun-tahun mendatang lebih bermakna terutama bermula 2009, Fazura menganggap ujian ini menyalurkan impak terbesar dalam hidup, malah dia lega dengan pengakhiran kes itu.
Merasakan diri menyedut nafas baru seperti kemunculan awal dalam dunia lakonan, Fazura melihat kitaran hidupnya, mula kembali berpusing lancar seperti sediakala. Dia juga menyedari kemunculan selepas kes ini, sebagai satu cahaya baru bagi menerangi kembali cintanya pada lakonan.
Bertentang mata sendiri dengan Fazura setelah dilepaskan daripada belenggu hitam itu, jelas ada riak dan sisi lainnya.
“Ini merupakan satu permulaan baru dan kalau boleh saya mahu kembali seperti awal penglibatan,” jawabnya spontan.
Bukan itu sahaja azam Fazura, sebaliknya dia nekad untuk menghargai peminat yang selama ini tidak pernah henti menyokong kariernya.
Bukan tidak pernah menerbitkan apresiasi buat pemujanya sebelum ini, namun dia menyedari harus mengutama individu bergelar peminat.
“Empat tahun saya cuba mengurangkan aktiviti seni kerana tertekan dengan kes itu. Jiwa saya jadi tak tenteram, malah tiada keyakinan untuk berdepan dengan masyarakat.
“Saya sering menyalahkan diri, selalu rasa negatif dan tidak cukup baik untuk semua terutama peminat. Sekarang benda tersebut dah selesai. Keutamaan saya sekarang adalah mahu berlakon dan memberi impak hebat di mata mereka.
“Saya baru saja dapat empat tawaran lakonan filem termasuk daripada Metrowealth International Group (MIG) dan produksi lain untuk penggambaran sekitar November dan Disember ini.
“Saya sedang memikirkan tawaran-tawaran itu kerana saya tak boleh tamak ambil banyak projek dalam satu-satu masa.
“Sekarang dah bulan Oktober. Takut suntuk sangat untuk ambil banyak tawaran, namun saya masih lagi lakukan pertimbangan sebelum ambil kata putus,” jelasnya sambil menguntum senyuman manis.

MELIHAT kehidupannya sebagai baru bermula. Fazura mesra di samping ibu tersayang.
Ditanya tentang lelaki istimewa yang kini bertakhta di hati si jelita ini, seraya Fazura berkata: “Kini saya lebih menggemari ambil jalan selamat kalau ada sesiapa yang bertanya soal ini.
“Pada saya, soal teman lelaki macam isu yang datang dan pergi, lagipun saya nak 2009 sebagai tahun untuk kerja keras dalam bidang lakonan serta menghargai para peminat. Cukuplah saya dah belajar daripada pengajaran lepas. Kalau ada jodoh tak ke mana.”
Sebelum menoktahkan bicara, Fazura sekali lagi meluahkan sepenuh kesyukuran kerana masyarakat masih lagi setia menyokong kerjaya seninya.
“Terima kasih banyak pada media dan peminat semua. Baik ataupun buruk saya, anda tetap menyokong saya,” jawabnya sedikit beremosi.
Sentiasa sokong Fazura
Bagaikan menjadi lumrah alam, ibu mana yang tidak tahan melihat anak kesayangan, selama ini ditatang ibarat minyak penuh, dikritik dan diberi pelbagai label cukup memualkan.

Kesempatan menemui ibu Fazura, Fadhillah Nasir, 48, memberi pengalaman berharga. Bertanyakan sedalam mana kepercayaan wanita itu terhadap diri seorang Fazura, barulah mengerti dari mana Fazura mendapat kekuatan menerjah badai kehidupan.
“Sudah tentu sebagai ibu saya selalu meletakkan kepercayaan tidak berbelah bagi kepada Fazura lebih-lebih lagi apabila dia ditimpa masalah.
“Naluri saya sebelum ini mengatakan Fazura tidak bersalah dalam kes tersebut, malah saya selalu doakan yang terbaik untuk dia.
“Satu perkara yang ingin saya tekankan, Fazura adalah anak yang tabah, malah lebih kuat berbanding saya sekiranya mengalami kesulitan dalam hidup,” katanya yang sedikit terkejut tatkala dihampiri pihak media untuk mendasari isi hatinya sebagai ibu.
Sambung Fadhillah lagi, tempoh empat tahun yang dijalani Fazura turun naik mahkamah bukan jangka waktu singkat.
“Bayangkan, mahkamah belum memutuskan sebarang hukuman, Fazura telah dinilai bermacam-macam pihak lain.
“Saya kasihankan dia. Empat tahun boleh dianggap tempoh panjang Fazura berduka dengan perkara itu,” akui Fadhillah dalam nada sebak, ada tanda air mata berharga seorang ibu akan tumpah.
Sebagai seorang ibu penyayang umpama ibu lain, ungkap Fadhillah, dia cukup kenali sikap dan personaliti sebenar Fazura.
“Kalau saya dapat tahu gosip atau kisah buruk dia, pantas saja saya akan tanya sendiri pada Fazura untuk dapat kepastian.
“Sekarang keputusan dah keluar, lalu terbukti cakap-cakap orang luar selama ini tidak benar sama sekali,” jelasnya.
Lumrah insan bergelar selebriti apabila kehidupan personal mereka seboleh-bolehnya ditelanjangkan pada umum, tanpa punya belas kasihan.
“Kalau orang biasa barangkali tiada sesiapa pun yang ambil kisah. Sebaliknya anak saya dikenali ramai, justeru isu itu jadi besar. Kami sekeluarga sudah menjangka sebarang kemungkinan tentang gosip atau fitnah kepada Fazura.
“Lagipun, sewaktu kejadian pergaduhan malam itu, Fazura terus menghubungi saya. Mudah saja kata saya, dia harus bersabar dan hadapi sendiri perkara itu. Alhamdulillah, Fazura memenangi kes ini. Jelas sekali Tuhan dah tunjukkan segala-galanya kepada sesetengah pihak yang selama ini tidak henti cakap buruk tentang anak saya,” luah wanita ini dalam nada penuh kesyukuran.
Kosmo