Astro Prima Kini Setaraf Ria
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
SEJAK 12 tahun lalu, penonton di negara ini berpeluang menyaksikan saluran baru di TV yang memberikan banyak pilihan pada program yang dipertontonkan. Menjadi stesen TV berbayar pertama negara yang menyediakan pelbagai program hiburan sama ada drama, muzikal, filem dari dalam dan luar negara termasuk sukan dan siaran radio, Astro semakin mendekati penonton mereka.
Di awal pengenalan dulu, Astro hanya mempunyai satu saluran bahasa Melayu iaitu Ria (saluran 104). Kini, seiring dengan kematangan dan perkembangan persada hiburan tempatan, saluran bahasa Melayu diperbanyakkan dengan menyaksikan kemunculan Astro Prima, Oasis, Aruna, Ceria, Kirana dan Awani.
Malah kewujudan saluran lain seperti Box Office, Astro On Demand dan Syawal (saluran bermusim) turut menarik perhatian penonton untuk mendapat lebih kepuasan.
Dalam mengisi kandungan program yang disediakan agar memenuhi permintaan dan kepuasan penonton, Astro sentiasa memberi fokus pada aspek penambahbaikkan pada program sama ada terbitan sendiri atau yang diterbitkan untuknya.
Kejayaan program sendiri seperti Akademi Fantasia (AF), Macam-Macam Aznil, AC Di Sini dan Raja Lawak membuktikan Astro mampu berjaya dengan usaha menerbitkan program sendiri. AF adalah contoh terbaik antara program paling lama di Astro yang bersiaran selama enam musim dan ia dijangka diteruskan untuk musim baru pada tahun depan.
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, berkata setiap saluran di Astro mempunyai kekuatan tersendiri dalam memilih program yang bersesuaian untuk disajikan pada penonton. Menariknya, program ini mengikut tema berbeza yang menjadi panduan setiap saluran.
Meraikan sokongan kakitangan, penerbit TV, artis dan media, Astro tidak melupakan tanggungjawab untuk mengadakan jamuan Aidilfitri pada tahun ini. Dalam majlis berkenaan yang diadakan di Wisma Penyayang, Seri Kembangan Selangor baru-baru ini, lebih 1,500 tetamu diraikan.
Kata Zainir, jamuan yang diadakan bertujuan merapatkan silaturahim antara Astro bersama kakitangan dan pihak yang banyak bekerjasama menjayakan pelbagai program sebelum ini. Jika tahun sebelumnya, Astro hanya membuat majlis berbuka puasa tetapi kesempatan ini turut digunakan untuk memperkenalkan Astro Entertainment yang beroperasi di sana.
Menyingkap pencapaian Astro selama ini, Zainir berpandangan setiap saluran di Astro mencatatkan kejayaan dan paling ketara Ria dan Prima kini bersaing sebagai saluran bahasa Melayu popular di kalangan penonton.
“Perkembangan Ria dan Prima amat menggalakkan hingga kini mempunyai sama taraf. Dulu kita melihat Ria mendahului sebagai saluran diminati ramai penonton tetapi sejak program Raja Lawak, jumlah penonton di Prima semakin meningkat.
“Kejayaan awal Prima ini adalah di luar jangkaan dan sambutan positif juga diterima menerusi saluran lain. Mengikut pemerhatian kami, faktor kejayaan saluran di Astro adalah penekanan pada kandungan program tempatan yang dimuatkan.
“Program tempatan seperti drama dan program realiti berjaya menarik perhatian penonton hingga ia memberi galakan pada kami untuk menerbitkan program baru. Namun fokus pada saluran lain tidak diketepikan,” katanya.
Zainir berkata, Astro Oasis pula berhadapan dengan cabaran besar dan pencapaian saluran ini sebenarnya membanggakan. Membawa pendekatan berbeza dengan konsep Islamik, program Jemputan Umrah dan Kalam Suci antara yang popular ditonton.
“Sebelum ini kita melihat program berbentuk keagamaan dan kerohanian sedikit. Berdasarkan penjualan VCD untuk program sebegini, ia meraih sambutan positif hingga program TV juga popular.
“Untuk drama, sinetron yang memfokuskan pada kanak-kanak dan keluarga masih menerima sambutan tinggi. Kami berpandangan masih wujud ruang untuk membaiki kualiti drama tempatan dan berharap penonton faham dengan strategi setiap saluran di Astro.
“Secara keseluruhan, kejayaan ini dilihat apabila jumlah penonton kami bertambah pada setiap tahun. Apa yang membanggakan, jumlah penonton dari luar bandar juga meningkat,” katanya.
Bersama sambutan pada program TV, pencapaian Astro diterima menerusi aktiviti bersama penonton di luar bandar seperti Gempak Desa. Sambil merapatkan hubungan antara Astro dengan penduduk kampung, respons yang diterima begitu menggalakkan.
Memperkemaskan kandungan program sedia ada, Astro berharap program mereka relevan dengan kehendak penonton. Selain drama, tumpuan diberikan pada program lain seperti animasi dan dokumentari.
Bagi penerbit David Teo, perkembangan Astro dilihat meningkat dari semasa ke semasa. Katanya, Astro tidak bersandarkan program antarabangsa semata-mata tetapi turut mementingkan kandungan program tempatan.
“Apa yang kita lihat kini, Astro banyak menekankan program tempatan untuk siaran mereka dan ini memberi peluang pada pelakon pelapis generasi baru untuk bekerjasama dengan saluran baru Astro.
“Keterbukaan Astro ini menjadi petanda pada kemajuan persada hiburan tanah air secara keseluruhan dan membuka ruang pada penerbitan lebih banyak program baru.
“Sesuai dengan pengenalan saluran baru, Astro bersikap profesional apabila memfokuskan konsep berbeza untuk setiap saluran baru ini. Jika penonton meminati drama, mereka boleh memilih Ria dan Prima atau tayangan filem Asia di Kirana.
“Begitu juga peminat program ke arah keagamaan, mereka boleh menonton Oasis. Memfokuskan skop penonton mengikut setiap saluran, ia memberi lebih kepuasan pada penonton.
“Awani boleh dijadikan contoh pada kejayaan Astro kerana membawa liputan berita antarabangsa dalam bahasa Melayu. Bukan semua penonton faham dengan berita dalam bahasa Inggeris dan usaha ini dipuji serta harus diteruskan.
“Mungkin cadangan saya agar Astro menambahkan lagi saluran baru seperti hiburan khusus untuk penonton muda dan satu saluran khusus sukan tempatan,” katanya.
Pelakon dan juga produser muda, Nasreen Ngasri atau Darling berpandangan pencapaian Astro selama ini memberi impak positif pada perkembangan persada hiburan tempatan. Memajukan bidang drama dan filem, Astro mewujudkan banyak peluang pada produser TV untuk menghasilkan drama dan program baru.
“Ini adalah peluang yang dinantikan produser TV untuk menghasilkan program baru seperti drama untuk disiarkan di Astro. Dari aspek persaingan dengan stesen TV lain, Astro bertindak berani untuk bersaing dengan program terbaik mereka. Saya percaya usaha mereka ini berjaya dan membuahkan hasil.
“Tentunya kelebihan Astro tidak hanya pada produser TV dan artis tetapi penonton khususnya. Adanya Astro, penonton dapat memperluaskan pengetahuan secara global.
“Malah program yang disiarkan di Astro bukan saja tertumpu pada bahasa Melayu tetapi pelbagai bahasa di dunia seperti Inggeris, India dan Cina.
“Walaupun Astro berusaha mempertingkatkan kandungan program mereka tetapi saya melihat stesen ini sudah lengkap dengan pelbagai program dan informasi. Segalanya ada di Astro,” katanya.
Penyanyi Misha Omar pula menyimpul kejayaan Astro didukung program terbitan sendiri dan skop penonton merangkumi dewasa dan kanak-kanak. Memberi kelebihan, Astro turut memperkenalkan artis mereka sendiri seperti Aznil Nawawi, Erra Fazira dan Anita Sarawak yang menjadi Wajah Eksklusif Astro.
“Artis di bawah Astro mempunyai ramai peminat. Sebelum ini saya pernah terbabit dengan program Astro seperti Dari Studio Satu dan Konsert Merdeka.
“Mungkin saya berharap program Dari Studio Satu diadakan kembali dan diperbanyak program baru agar penonton tidak bosan dengan program ulangan,” katanya.
Harian Metro
Nice article. Thanks.
Eugene