Dengarnya…: Tuah Elly Mazlein





LAKONAN Elly Mazlein menyerlah dalam drama bersiri Bella.

CIK Normah cukup berkenan dengan pelakon dan penyanyi yang seorang ini. Sudahlah dipandang manis, cakap pun bersopan malah bijak membawa diri dan mungkin kerana itu, dia begitu disenangi apatah lagi sejak serius dengan bidang lakonan. Dulu Elly Mazlein pernah merakamkan album tapi sejak syarikat rakaman dinaunginya ditutup, kerjaya nyanyiannya juga seakan-akan suram.

Sejak tahun lalu, Cik Normah nampak bukan main aktif lagi Elly ni berlakon. Lepas satu, satu drama yang dibintanginya. Bukan satu dua episod, sebaliknya ada yang menjangkau hingga 60 episod.

Dulu masa berlakon Gerak Khas dan Sembilu, Cik Normah pernah terfikir Elly tak serius menjadi pelakon. Iyalah, mana tak terfikir gitu kerana Cik Normah asyik nampak Elly ni suka bergaya cantik saja di layar kaca…

Tetapi sejak drama bersiri Bella, Cik Normah akui Elly memang boleh berlakon. Dia juga semakin bijak mewarnai lakonannya untuk menampakkan kelainan.

Cik Normah cukup berkenan menonton lakonan Elly dalam drama raya arahan Rashid Sibir, Pelita Buluh siaran TV3, Sabtu lalu.

Dengarnya ramai yang memuji lakonan Elly dalam telefilem yang membariskan nama besar seperti Fauziah Ahmad Daud, Nasir Bilal Khan, Azean Irdawaty dan Azizah Mahzan. Cik Normah sendiri dah mula nampak kegemilangan Elly sebagai seorang pelakon. Baguslah, sekurang-kurangnya industri lakonan tidak kekeringan pelakon berbakat yang boleh menjadi pelapis yang membanggakan.

Kepada Elly, Cik Normah nak ucapkan syabas. Teruskan usaha, jangan cepat berpuas hati kerana banyak lagi yang belum diteroka untuk menjadi pelakon yang mantap.

Berita Harian

Leave a Reply