Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

NAZIM dan Kiss berlakon bersama dalam Klon Teja.
Beraksi dalam drama Klon Teja terbitan Tall Order Production
INILAH wajah terbaru yang menaungi syarikat pengurusan Aquila Emas Sdn Bhd, mengikuti jejak selebriti seperti Zizan Nin, Betty Banafe, Airis Yasmin, Lana Nordin dan Tony Eusoff. Nama komersial sesudah dilakukan perbincangan dengan syarikatnya ialah Nazim Othman. Nazim menyertai Aquila Emas sejak sebulan lalu dan usia perkembangan trek seninya belum pun mencecah setahun.
Menidakkan yang dia bakal menjadi anak emas syarikat ini, Nazim mengakui pernah didatangi beberapa agensi yang berkeinginan untuk menguruskan kerjaya seninya. Namun, rezeki berpihak kepada Aquila Emas untuk memanjangkan hasrat dan impian Nazim bergelar pelakon disegani suatu hari nanti. Mengikat kontrak selama setahun, Nazim positif untuk melakar nama di puncak seni.
Biarpun berdepan dengan masalah teknikal, Nazim tidak berkesempatan untuk menunjukkan bakatnya di dalam drama bersiri Ku Milikmu. Bagaimanapun, jejaka yang membesar di Johor Bahru ini berpeluang berlakon di dalam satu episod drama Frontpage, telefilem Bunga Dari Liverpool dan Gelora Di Hati Sarah dan Sutera Maya.
Terbaru, di bawah produksi Tall Order Production, Nazim memegang watak Zack dalam drama Klon Teja di sisi pelakon Balkiss, Ummi Nazeera dan Anding.
“Sejak di sekolah lagi saya memang minat menceburi bidang lakonan dan pernah berlakon teater di sekolah menengah. Saya pendamkan hasrat untuk berlakon dan menyertai penerbangan MAS menjadi pramugara selama lima tahun sejak April 2003 hingga April 2008. Selesai kontrak dengan MAS, saya ada terbabit dengan iklan komersial seperti RHB Bank, Focus Point dan Syurah.
“Perjalanan seni saya baru saja bermula dan Alhamdulillah hari demi hari orang mula nampak bakat saya. Melalui perbincangan dengan Aquila Emas, satu perancangan untuk memasukkan saya ke dalam kelas lakonan sedang diusahakan. Matlamat jangka pendek saya ialah untuk menarik perhatian orang ramai mengenai kewujudan saya. Saya tidak mahu terus hilang dan sepi begitu saja.
“Matlamat jangka panjang saya ialah saya mahu mengikut jejak seperti Rosyam Nor dan Hans Isaac yang sudah mempunyai rumah produksi sendiri. Insya-Allah saya ingin memiliki sebuah rumah produksi pada masa mendatang,” kata Nazim yang ingin mencuba watak sebagai pelakon psiko serta teringin berlakon bersama Zamarul Hisham dan Ellie Suriati.
Tak popular tetapi murah rezeki
SEMENTARA itu, Kiss yang turut berlakon di dalam drama Klon Teja juga bukanlah satu nama yang asing di dalam industri lakonan.
Biarpun sudah tujuh tahun menongkah arena seni, tahap popularitinya masih pada kadar sederhana. Kata Kiss atau nama sebenarnya Balkish Semundur Khan, dia masih menarik nafas lega kerana biarpun kurang dikenali, rezeki untuknya berlakon tetap murah.
“Saya selesa begini tapi tipulah kalau saya menidakkan faktor populariti sebagai landasan terbaik untuk memasarkan diri di dalam liga seni. Kalau nak dikenali sekalipun saya lebih senang andai kisah bakat yang diperkatakan berbanding palitan kontroversi.
“Bagaimanapun saya tetap melihat istilah popular sebagai elemen penting untuk diingati,” katanya yang berharap untuk menggenggam trofi anugerah pelakon terbaik ataupun pelakon pembantu terbaik.
“Saya juga berpuas hati dengan soal bayaran yang diterima sesudah berhempas pulas mencari rezeki. Dulu saya pernah ditipu gara-gara masih baru dan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan. Saya berasa sangat dirahmati,” sambungnya lagi.
Mengelak sisi peribadi, Kiss sudah berkahwin dengan Mohd Aizat Rosli, 25, sejak dua tahun lalu. Suaminya bekerja di belakang tabir di sebuah syarikat produksi. Biarpun begitu, mereka belum dikurniakan cahaya mata.
“Kalau ada tahun ini juga rezeki saya untuk mengandung, saya terima. Saya memang benar-benar mengharap menanti kehadiran anak yang mampu terus membahagiakan kehidupan kami. Kalau diizinkan Tuhan, saya nak anak lelaki kerana biarlah yang pertama menjadi tulang belakang keluarga kami.
Profil Kiss
Nama sebenar: Balkish Semundur Khan Nama panggilan: Kiss Umur: 22 tahun Tarikh lahir: 13 Julai 1986 Drama: Seribu Erti, Aduhai Deman, Kerana Seringgit, Berarak Mendung Kelabu, Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan, Nek Nak, Kaber Hero Kaber Zero dan Klon Teja. Filem: Diva, Tak Ori Tapi Oke, Dukun dan Cinta Fotokopi.
Profil Nazim Othman
Nama sebenar: Nushrul Alif Othman Nama komersial: Nazim Othman Tarikh lahir: 16 September 1984 Tempat lahir: Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah dan membesar di Johor Bahru Hobi: Membaca dan mengembara Emel: nazothman@gmail.com Lakonan: Frontpage, Bunga Dari Liverpool, Gelora Di Hati Sarah, Sutera Maya dan Klon Teja.
Berita Harian