Ekspedisi Franck Muller



Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

Dianjurkan oleh jenama jam tangan yang unggul, ekspedisi yang dinamakan Franck Muller Super Car Tour 2008 ini menampilkan jalinan antara kereta mewah dan jam berprestij tinggi.


ANTARA kereta mewah yang menyertai konvoi Franck Muller Super Car Tour 2008 baru-baru ini.

KEHADIRAN lebih 30 buah kereta mewah mencuri tumpuan ramai apabila jentera itu memenuhi hampir segenap ruang jalan berhadapan Hotel Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor. Gemerlapan kilauan kereta-kereta mewah seperti Porsche, Ferrari, Lamborghini, Aston Martin, BMW dan Mercedes Benzs itu memancar berpadu dengan terik mentari.

Sesiapa sahaja pasti akan terpegun menyaksikan kereta-kereta mewah yang sporty ini. Berhimpunnya kereta-kereta itu bukanlah untuk tujuan pameran, sebaliknya untuk satu ekspedisi konvoi tersendiri.

Dianjurkan oleh jenama jam tangan unggul, Franck Muller, ekspedisi yang dinamakan Franck Muller Super Car Tour 2008 ini menampilkan jalinan antara kereta mewah dan jam berprestij tinggi.

Melambangkan keunggulan pada kemewahan, Franck Muller tidak hanya mengekspresikan falsafah jenamanya melalui jam tangan tetapi juga gaya hidup yang tinggi. Disertai oleh pemilik-pemilik kereta mewah dari Singapura, Malaysia dan Hong Kong yang kebanyakannya pelanggan Franck Muller, Hotel Palace of the Golden Horses menjadi garis permulaan konvoi yang melibatkan tiga negara itu.

Menyifatkan signifikan penganjuran ekspedisi selama tiga hari ini diadakan bagi menghargai para pelanggannya, ia juga seiring dengan kemuncak semangat pemotoran perlumbaan F1 yang julung-julung kali diadakan di Singapura baru-baru ini.

“Ekspedisi ini adalah usaha kami untuk melahirkan terima kasih dengan para pelanggan kami atas sokongan berterusan mereka,” kata Tay Liam Wee, Pengarah Urusan Franck Muller Pte. Ltd.

Para peserta ekspedisi dari Singapura dan Hong Kong terlebih dahulu bertemu dan bertolak dari Hotel Shangri-La, Singapura. Kemudian, mereka menuju ke Hotel Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan untuk menemui kumpulan dari Malaysia. Kumpulan dari Singapura dan Hong Kong itu tiba di situ pada pukul 12 tengah hari.

Setelah berehat kira-kira sejam, ketiga-tiga kumpulan memulakan ekspedisi konvoi pada pukul 1 petang. Dengan diiringi beberapa buah motosikal serta diawasi anggota polis, kereta-kereta mewah yang dilengkapi tampalan jam-jam tangan Franck Muller di bahagian hadapan kereta meluncur keluar dari laman hotel. Destinasi tujuan mereka pada hari pertama ialah Tanjung Jara Resort di Terengganu.

Keesokannya, dari Tanjung Jara Resort, mereka menuju ke Cameron Highlands Resort. Pada hari ketiga, dari Cameron Highlands, mereka kembali ke Singapura. Pada sebelah malamnya, mereka menikmati acara kemuncak iaitu makan malam bersama pengasas jenama jam tangan tersebut yang diterbangkan khas dari Geneva, Switzerland, Franck Muller di Restoran White Rabbit, Singapura.

Menariknya tentang ekspedisi ini, ia turut disertai oleh pemilik beberapa buah kenderaan mewah yang merupakan edisi terhad. Antara yang paling sukar ditemui ialah kereta Ferrari model F430 dan Mercedes model CLK-DTM.

Menurut pemilik kereta Mercedes model CLK-DTM, Kevin Chau dari Hong Kong, kereta modelnya itu hanya terdapat 100 buah di dunia, tiga daripadanya di Hong Kong dan salah satu daripadanya adalah miliknya.

“Kereta DTM merupakan kereta siri perlumbaan di Eropah. Jadi, ia menerapkan teknologi perlumbaan ke dalam kereta biasa di jalan raya. Ia lebih ringan, lebih laju dan berprestasi lebih baik,” katanya yang juga merupakan naib pengerusi sebuah syarikat terkemuka di Hong Kong serta seorang pengedar jenama Franck Muller. Kevin Chau turut memberikan penerangan ringkas kepada pemberita mengenai ekspedisi berkenaan.

“Kereta mewah dan jam tangan sememangnya mempunyai kaitan. Kedua-duanya memiliki keunikan kejuruteraan dan mekanikal,” ujarnya sambil menunjukkan seutas jam tangan Franck Muller yang mengulit pergelangan tangannya.


GAMBAR-GAMBAR jam tangan Franck Muller dilekatkan pada setiap kereta yang menyertai ekspedisi mewah ini.

Ditanya tentang keseronokan ekspedisi ini, Kevin yang juga bertindak sebagai jurucakap dalam sidang akhbar memberitahu, ekspedisi itu pastinya menarik kerana ia memberi peluang kepada peserta dari Singapura dan Hong Kong untuk menjelajahi perjalanan jalan raya.

“Kami, pemandu-pemandu dari Hong Kong dan Singapura tidak boleh berjalan jauh di negara kami kerana keluasan tanah terhad. Ini tentunya satu pengalaman baru bagi kami. Ia pasti akan menjadi ekspedisi perjalanan jauh yang mengujakan,” katanya sambil memberitahu soal keselamatan amat dititik beratkan dengan beberapa individu bermotosikal mengawasi perjalanan ekspedisi.

“Kami bukan berlumba bahkan dibahagi-bahagikan mengikut kumpulan agar dapat melancarkan perjalanan,” katanya.

Bagi seorang pemilik kereta mewah dari Malaysia yang menyertai program tersebut, Khairil Anuar Akhiruddin yang memandu BMW M6, ia merupakan peluang untuknya mengenali rakan-rakan dari negara luar seperti Singapura dan Hong Kong.

“Dengan menyertai program ini, saya akan lebih mengenali rakan-rakan dari negara lain. Ia nyata suatu program yang menarik,” kata lelaki yang mempunyai perniagaan sendiri itu sambil memberitahu isterinya, Jusmiera Jamaluddin merupakan pelanggan Franck Muller.

Dalam ekspedisi itu juga, pihak Franck Muller menyediakan segala kelengkapan untuk setiap pemandu, dari walkie talkie untuk komunikasi sesama mereka, sehinggalah kad Touch n Go dan cakera padat lagu.

Ditanya apakah kepuasan daripada memiliki kereta mewah, Khairil Anuar berkata, bukan soal kemewahan sahaja yang dilihat, sebaliknya kekuasaan prestasi turut memainkan peranan.

“Kereta mewah bukan sekadar mewah, tetapi ia juga merupakan kereta yang berkuasa tinggi. Saya sanggup berhabis duit untuk memiliki kereta yang berprestasi terbaik,” katanya.

Turut menyertai program tersebut ialah seorang bapa dan dua anaknya yang menggunakan kereta mewah masing-masing. Mereka ialah Datuk Azizi Yom Ahmad dan dua anaknya, Erwin Azizi dan Erwan Azizi.

“Dari kecil lagi, saya memang minat kereta, mungkin kerana dipengaruhi oleh minat bapa saya. Kini, anak-anak saya juga ikut sama menggemari kereta,” kata Azizi yang memandu kereta Ferrari 575 GTC.

Anaknya, Erwan memberitahu, dia mengetahui mengenai ekspedisi ini setelah mendapat panggilan daripada pihak Franck Muller.

Jenama jam ini diasaskan oleh Franck Muller, pembuat jam terkenal dari Switzerland. Ia dikenali kerana gaya moden fusionnya. Jam Franck Muller turut dipakai oleh selebriti-selebriti terkenal seperti Demi Moore, Elton John dan Robin Williams.

Kosmo

This entry was posted in Demi Moore. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>