Soseh Soseh: Ramadan Cukup Bermakna



Rap
HARI ini (Selasa), dua hari kita jalani ibadah puasa. Jika semalam ramai bercuti kecuali bidang seperti SS selain abang-abang polis, tentera, jururawat, bomba, pemandu dan penjaga tol, hari ini ramai mulai bekerja. Bagi SS, Ramadan kali ini cukup bermakna dan begitu istimewa sekali.

Sebabnya, selepas kita meraikan 31 Ogos, esoknya kita sudah mula berpuasa. Seingat SS, selama SS hidup di tanah air bertuah yang asal namanya Malaya, kini disebut Malaysia, inilah pertama kali selepas meraikan Hari Kebangsaan, kita melangkah ke Ramadan dan September secara serentak.

Sekali gus kita menjalani rukun Islam ketiga. Pagi meraikan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka, sebelah malam masyarakat Islam di seluruh dunia bersolat Tarawih. Sesak surau dan masjid dibuatnya.

Semangat minggu pertama berpuasa, begitulah masing-masing berkobar-kobar untuk menyucikan diri. Cuma segelintir daripada kita, yang tuntutan pekerjaan mereka membuatkan hasrat untuk solat Tarawih penuh sepanjang Ramadan tidak kesampaian. Bagi SS memadailah ada niat, daripada tiada langsung.

Ramadan kali ini pastinya lebih istimewa buat artis dan selebriti yang baru mendirikan rumah tangga. Umpamanya pasangan penyanyi Deja Moss dan Azfendy Azzuddin, Maya Karin dan Muhammad Ali Abdullah (Steven David Shorthose), Mazlan Ahmad, atau Lan Pet Pet dan Robithoh Che Wan, 31, Norazlina (Alin) Redzuan dan Datuk Yusof Annuar Yaacob serta Natasha Aimee dan Mohd Azril Fikry Abidin. Nampaknya masing-masing berebut nak bernikah sebelum Ramadan. Nak dapat berkat.

Bermakna Ramadan kali ini, sudah tentu pengalaman baru buat semua pengantin baru ini. SS percaya ada di antara pasangan ini sudah lama bercinta, tetapi ia tetap berasa asing bila mula hidup bersama kerana sebaik bernikah kita bukan dengan pasangan saja tetapi sekeluarga.

Nasihat SS buat pasangan pengantin baru ini, rajin-rajinlah berbuka, bertarawih mahupun bersahur bersama pasangan serta keluarga baru anda. Percayalah, daripada situ akan memutik kemesraan serta kasih sayang bukan saja buat pasangan masing-masing tetapi sekeluarga.

Harian Metro

This entry was posted in Deja Moss, Maya Karin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>