Idam Duet Dengan Rihanna



Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my


SINGLE PERTAMA: Joe turut menyanyikan lagu barunya, Do It Duit pada majlis anjuran Gatsby.

Joe Flizzow cari syarikat korporat sanggup bekerjasama terbit album solo

MENJADI harapan Joe Flizzow semoga album solo terbarunya, President, dapat juga berada di pasaran pada November ini. Ketika ini, proses penghasilan rancak berjalan dan single pertama, Do It Duit, akan mula disiarkan di radio dalam masa beberapa minggu lagi.

Sehingga kini, anak muda berusia 29 tahun itu sudah pun menyudahkan proses rakaman 10 lagu dan dia berazam untuk merakamkan lima lagi lagu sebelum album berkenaan dapat dipersembahkan kepada peminat. Malah, jualannya kali ini bukan hanya tertumpu kepada pasaran tradisional, sebaliknya dia juga akan memasarkan album itu menggunakan media baru seperti internet dan telefon bimbit.

Pada masa yang sama, Joe masih berusaha untuk mendapat nama besar dalam industri muzik antarabangsa untuk bekerjasama dengannya bagi album berkenaan.

Bagi album terbaru itu, rapper berkenaan sudah pun menghasilkan lagu secara kolaborasi bersama pemenang musim kedua Singapore Idol yang juga rakan baiknya, Hady Mirza dan rocker unggul tempatan, Amy Search. Dia juga bekerjasama bersama rapper yang dihormati ramai artis terkenal Amerika Syarikat (AS), KRS-One.

Walaupun merakamkan lagu itu secara berasingan, namun Joe atau nama asalnya Johan Ishak, dikatakan akan bertemu juga dengan rapper idolanya itu apabila mereka disatukan dalam sebuah kip video yang bakal dirakam di AS.

Tidak cukup setakat itu, Joe sebenarnya masih mengimpikan kolaborasi bersama bintang terkenal Amerika seperti Rihanna atau Chris Brown.

“Pihak Kartel (syarikat rakamannya) sudah pun menghubungi pihak pengurusan artis terbabit. Sudah tentulah harga yang mereka berikan sangat mahal, menyamai nilai beberapa biji banglo. Saya amat memahaminya kerana merekalah artis yang paling dikehendaki ramai ketika ini.

“Begitupun saya amat berharap dapat juga menjalinkan kerjasama bersama mereka kerana untuk memasuki pasaran lebih luas terutama AS, saya benar-benar memerlukan sebuah lagu yang mampu menembusi carta Billboard. Justeru, menjadi harapan saya agar syarikat korporat sudi mengadakan kerjasama bersama saya bagi menjayakan usaha itu.

“Saya sedar, belanja yang perlu dikeluarkan agak besar, tetapi manfaatnya boleh dikutip bersama. Tentu sekali jenama syarikat terbabit akan dipaparkan sama dalam video muzik yang akan dihasilkan sekiranya impian ini menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan persembahan sempena pelancaran Styling Dance Contest anjuran produk rambut Gatsby di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kata Joe, album terbabit bukan saja akan dipasarkan di Malaysia dan Indonesia, bahkan dia juga melihat kemungkinan kerjasama bagi memasarkannya ke negara Asia Tenggara lain. Matlamat akhir, ujar jejaka berimej botak ini, tentunya melihat album itu turut memasuki pasaran AS.

Too Phat kembali beraksi tahun 2010

MENGENAI album Too Phat pula, katanya, jika mengikut perancangan, dia dan Malique akan sekali lagi menyaksikan album kumpulan itu menemui peminat pada 2010.

Namun sebelum itu, amat penting untuk mereka bergerak secara solo bagi memberikan tumpuan kepada persediaan selepas persaraan. Dia sendiri, katanya, sedang memperkukuhkan kedudukan syarikat rakaman Kartel yang kini hanya menaungi dirinya. Pada masa depan, dia juga akan mencari bintang baru untuk dibentuk syarikat berkenaan. Joe turut berusaha memastikan jenama pakaiannya sendiri akan dapat memasuki pasaran secara meluas pada tahun depan. Begitu juga dengan Malique yang sudah pun memiliki syarikatnya sendiri.

Berikutan penerbitan album solo itu juga, dia dan Malique jarang sekali dilihat muncul bersama-sama sejak akhir-akhir ini. Masing-masing sudah pun atau akan terbit bersama album sendiri. Lalu, kemunculan bersama yang jarang sekali dapat disaksikan sememangnya sudah dirancang bagi membolehkan peminat melihat artis terbabit secara individu pula.

Ditanya mengenai desas-desus kononnya hubungan kedua-duanya kini dalam keadaan kurang selesa, Joe berterus-terang mengaku, memang wujud sedikit masalah dalam hubungan mereka, begitupun ia tidaklah mencapai tahap kritikal.

“Kami sudah lama bersama-sama. Too Phat sendiri sudah berusia 10 tahun sejak penubuhannya. Jadi, hubungan kami juga sudah macam adik-beradik. Dalam adik-beradik pun tentu ada selisih faham. Begitu jugalah dengan kami berdua. Tetapi, masalah itu tidaklah melarat sampai wujudnya ‘drama’,” tegasnya.

Sebagai rakan, dia tetap hadir pada majlis perkahwinan Malique bersama pelakon Melissa Maureen Rizal di Bali, pada 8 Ogos lalu. Katanya, majlis berkenaan diadakan dalam suasana yang sederhana serta dihadiri keluarga terdekat, rakan serta kenalan industri dari Malaysia dan Indonesia.

“Saya tentunya amat gembira dengan perkahwinan Malique dan Melissa. Eloklah apabila dia memilih untuk mendirikan rumah tangga. Mereka sememangnya pasangan yang cukup sepadan,” katanya sambil memuji album terbaru Malique, OK yang mula menemui peminat awal Ogos.

Pada pertanyaan apakah dia juga tidak teringin mengikut jejak langkah Malique yang mengakhiri zaman bujang, sambil tersenyum, Joe yang sudah pun memiliki buah hati ini berkata, dia masih lagi muda.

INFO: Album Too Phat

Whuttadilly Plan B Plan B (Platinum Edition) Phat Family 360῰ 360῰ (Platinum Edition) Too Phat: The Classics Rebirth Into Reality (CD berkembar) Rebirth Into Reality (International Edition) Too Phat Too Furious, 2007 Too Phat : The Greatest Hits President, 2008 (album solo Joe Flizzow) OK, 2008 (album solo Malique Ibrahim)

Berita Harian

This entry was posted in Amy Search, Hady Mirza, Joe Flizzow, Too Phat. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>