Skip to content

June 17, 2008

Lisa Senangi Farid Kamil



Oleh MOHAMAD KHAIRUL AZWAN MOHD TAJUDIN (PELATIH UiTM)


MEMULAKAN karier seni sejak usia 11 tahun, Lisa kini meniti tangga populariti menerusi dunia lakonan.

SELEPAS menempa nama menerusi drama dan telemovie, kini pemilik nama Lisa Surihani Mohmed pastinya beruntung kerana mendapat perhatian pengarah muda berbakat besar, Pierre Andre untuk membintangi filem terbaru MIG Production, I M Not Single.

Kepada yang belum mengenalinya, Lisa yang memiliki iras-iras pelakon Diana Danielle merupakan anak jati Kuala Lumpur dan masih menyambung pelajarannya di Abertwyth University, Wales, United Kingdom.

Semestinya komitmen dan usaha sangat dikehendaki di dalam bidang seni terutama masa yang diperuntukkan semasa di set penggambaran.

“Untuk Lisa, bergelar seorang pelakon, banyak perkara yang perlu dikorbankan seperti masa, tenaga dan kehidupan bersosial.

“Walaupun begitu, pelajaran masih menjadi keutamaan dan Lisa cuba untuk berkompromi dengan penerbit serta pengarah bagi memudahkan waktu kerjanya. Alhamdullilah setakat ini tawaran yang diterima hanya pada cuti semester dan tidak mengganggu waktu belajar Lisa,” katanya tersenyum yakin.

Bakatnya tidak boleh di pandang enteng. Ini kerana karier seninya bermula seawal usia 11 tahun dia melangkah setapak demi setapak melalui bidang glamor ini menerusi medium peragaan, pengacaraan dan lakonan.

“Permulaan Lisa dalam bidang ini hanya untuk suka-suka tetapi lama kelamaan ia menjadi serius apatah lagi pada masa yang sama Lisa memperoleh pendapatan hasil titik peluh sendiri,” katanya penuh teruja.

Bekas pelajar Sekolah Seri Inai, Kuala Lumpur itu bagaimanapun menegaskan keinginannya untuk bergelar seorang peguam akan direalisasikannya.

Untuk itu dia meneruskan pengajiannya dalam bidang guaman di Help College sebelum menyambung pengajian di luar negara.

Untuk rekod, Lisa yang tidak pernah lokek dengan senyuman kini berdebar menanti lakonannya dalam filem I M Not Single.

Secara peribadi dia mengakui, sangat gementar menunggu reaksi penonton.

“Lumrah bagi setiap tenaga produksi yang turut sama berasa debar menanti hasil kerja mereka di tayangkan, begitu juga dengan saya.

“Lisa harus berterima kasih kepada Piere kerana mempercayai bakat yang ada pada diri saya dan tunjuk ajarnya semasa di lokasi memberi keyakinan buat Lisa untuk mendokong watak utama sebagai Maya dalam filem ini,” katanya menyambung perbualan.

Jika dalam telemovie terakhir lakonannya, Goodbye Boys, Lisa memegang peranan pelajar sekolah, kini menerusi watak utama dalam filem I m Not Single, dia memegang karakter sebagai wanita yang terpaksa akur menerima jodoh yang diatur oleh keluarga.

“Karakter ini menuntut penghayatan emosi yang tinggi untuk membentuk karakter seorang yang manja, tegas dalam masa yang sama terperangkap dengan perasaan dalaman. Ini sangat mencabar saya.

“Mujur pasangan saya dalam filem ini, Farid Kamil yang memegang watak sebagai Adam banyak memberi tunjuk ajar dan kami selalu berkongsi idea untuk mendapatkan mood yang terbaik,” ujarnya lagi

Bercerita lanjut kolaborasinya dengan Farid, aktor tampan yang semakin popular itu, Lisa memohon selepas filem I’m Not Single ditayangkan kelak, jangan ada pihak yang cuba untuk mengaitkan mereka berdua pula.

“Jika ada babak mesra dalam filem, itu sekadar lakonan semata-mata dan sebagai pelakon mestilah profesional jangan pula di salah ertikan kerjasama yang terjalin antara kami semasa di lokasi,” kata Lisa penuh mengharap.

Menyenangi karakter Farid
Sebagai teman seperjuangan, Lisa secara jujurnya sangat menyenangi karakter Farid selain menganggap Farid seorang yang berbakat dan sangat profesional ketika di lokasi.

“Bagi Lisa, dia seorang yang mempunyai bakat. Dia hanya akan berbual bila ada keperluan selain seorang yang mempunyai idea yang banyak serta masa depan yang cerah. Lisa beruntung dapat bergandingan dengannya dalam filem ini apatah lagi dia sangat profesional,” jelasnya.

Sememangnya gadis ini petah bercakap dan sesuai dengan cita-citanya bergelar peguam. Namun satu perkara yang tidak akan dilakukannya andai diberi peluang ialah bergelar penyanyi.

“Tidak!! Lisa segan untuk menyanyi depan orang ramai. Buat masa ini belum terfikir lagi untuk menjadi penyanyi,” terangnya penuh jujur.

Lisa menjelaskan, biarpun dia sedang mendaki tangga-tangga populariti, namun itu bukan tiket untuk dia mempelbagaikan kerjaya seni tanpa berbekalkan bakat.

Mengenali pelakon muda ini, sesiap saja yang kali pertama mendekatinya sudah tentu akan tertarik dengan kesederhanaan yang ada padanya. Begitu juga kemesraannya, karakter humor yang ada pada dirinta selain seorang gadis yang cukup manja.

Lalu, tidak hairanlah kenapa banyak lelaki akan mudah cair sebaik memandang gadis berusia 22 tahun ini.

Biarpun begitu, Lisa sebetulnya masih belum dimiliki oleh mana-mana lelaki .

“Lisa bekum terfikir untuk bercinta lagi sebaliknya menjadikan pelajaran dan karier lakonan sebagai keutamaan buat masa kini,” katanya.

Utusan Malaysia

Read more from Diana Danielle

Leave a comment

required
required

Note: HTML is allowed. Your email address will never be published.

Subscribe to comments