Relay For Live 2008 dimeriahkan dengan kehadiran selebriti
BUAT kali keduanya, Relay For Live (RFL) 2008 disambut secara besar-besaran di lokasi yang sama di Stadium Latihan Majlis Sukan Negara (MSN). Manifestasi RFL berpaksikan kepada usaha dan matlamat murni mengutip dana bagi tabung Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia (PKKM).
Kutipan dana itu adalah satu usaha berterusan dan acara ini turut diseri dan dilancarkan Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.
RFL 2008 dijalankan dalam bentuk karnival sepanjang malam hingga ke waktu pagi selama 16 jam bermula petang 31 Mei hingga hari berikutnya, 1 Jun lalu. Orang ramai juga boleh berlari atau berjalan kaki secara maraton, individu atau berkumpulan. Turut tersedia ialah pentas utama yang menyajikan persembahan bersifat artistik seperti tarian, dikir barat, yoga dan silap mata.
Stesen TV berbayar, Astro juga meneruskan kesinambungan tanggungjawab sosialnya dengan menyokong PKKM, sekali gus menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan menghulurkan bantuan kepada pelbagai golongan lapisan masyarakat supaya dapat menikmati taraf hidup yang berkualiti di samping membangunkan sosio ekonomi negara.
Acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan selebriti tanah air seperti Ferhad, Sean Ghazi dan Anita Sarawak. Showcase stesen radio Suria FM yang membabitkan persembahan artis seperti Shila, Ayu One In A Million (OIAM) dan ramai lagi turut diadakan.
Pembabitan Anita Sarawak dan penayangan promo iklan RFL 2008 dengan memaparkan seorang kanak-kanak perempuan pengidap kanser bernama Amiza, 7 tahun di saluran Astro memberi impak tersendiri untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai program ini.
Golongan selebriti seperti Afdlin Shauki, Hans Isaac, Elaine Daly, Sahri, Anding, Sazzy Falak, Joanna Bessey, Low Ngai Yuen, Aishah Sinclair, Susan Lancaster dan Jaclyn Victor turut melapangkan masa dan tenaga untuk sama-sama menunjukkan tanda sokongan kepada program murni sebegini. Mereka diketuai bekas Ratu Cantik Malaysia, penyampai radio dan pelakon, Yasmin Yusoff.
Bagi Afdlin yang baru saja terbabit dengan Malaysian Artistes For Unity, satu projek perpaduan menyeru supaya lebih ramai lagi artis keluar daripada ‘kepompong’ dengan membabitkan diri dalam kegiatan sebegini. Baginya, populariti yang dimiliki setiap selebriti boleh digunakan untuk mencipta kesedaran.
“Walau apa jua pemahaman politik, budaya atau agama sekalipun, kita adalah satu rumpun rakyat Malaysia yang sama pada dasarnya, kita seharusnya menunjukkan semangat yang kita sememangnya prihatin dalam apa jua permasalahan.
“Sebagai golongan selebriti, sumbangan tidak semestinya dengan wang ringgit atau faktor kebendaan, sebaliknya populariti yang ada ini boleh mencipta kesedaran kepada peminat terdekat untuk sama-sama beramal. Saya berharap akan lebih ramai lagi selebriti keluar untuk memberikan sumbangan dalam bentuk tenaga dan masa,” katanya.
Bagi Elaine Daly, inilah masanya artis memberikan semula kembali apa jua yang dimilikinya selama ini.
“Saya tahu hal ini (RFL) ini pun daripada Yasmin Yusoff. Dia yang memberi mesej melalui penggunaan Facebook dua minggu sebelum acara ini berlangsung. Saya melihat program ini sebagai sesuatu yang bagus dan sangat terpuji.
“Saya juga pernah berdepan dengan situasi di mana orang yang rapat dengan saya mengidap penyakit kanser. Jadi inilah peluang untuk saya menyumbang apa yang ada, setidak-tidaknya menggembirakan pesakit kanser atau mengurangkan beban mereka,” kata Elaine.
Bekas pengacara 3R yang kini sudah bergelar penerbit dan pengarah di syarikat Double Vision, Low Ngai Yuen juga menyedari bukan senang untuk pesakit kanser berjuang bersendirian.
“Berdasarkan pengalaman orang lain berdepan dengan situasi penyakit kanser, saya sedar bukan mudah untuk pesakit ini berjuang seorang diri, sebaliknya perlu sokongan ramai pihak dan ahli keluarga untuk memberi kekuatan untuk berubah,” katanya yang terbabit dengan produksi drama Geng Bas Sekolah di Astro Ceria.
Merasai pengalaman yang sama seperti Low Ngai Yuen, bintang Akademi Fantasia musim kedua, Anding juga mempunyai sepupu yang menderita mengidap penyakit kanser.
Katanya lagi, hidup hanya sekali di dunia ini, apa salahnya jika golongan artis membabitkan diri dalam program sebegini demi masa depan yang lebih baik.
“Saya ada sepupu yang menderita sakit kanser, tetapi alhamdulillah dia masih hidup dengan izin-Nya. Tapi tidak semua yang beruntung pulih dari kanser. Artis yang selalu dianggap sebagai contoh perlu ada kesedaran untuk terbabit dalam program anjuran sebegini,” kata Anding.
RFL 2008 juga menyediakan beberapa gerai yang disertai beberapa badan termasuklah gerai Astro yang menaja sudut kanak-kanak dengan memberi peluang kepada golongan itu untuk bermain dan menyertai aktiviti seperti lukisan muka, membina istana mudah ubah, pendandan rambut kreatif dan penampilan badut serta ahli silap mata.
Astro juga menghantar 10 kumpulan yang terdiri daripada 10 orang bagi setiap kumpulan untuk menyertai maraton.
Powered by Berita Harian