Info TV: Kan Cheong Kitchen Ketengah Kelainan



Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

BAYANGKAN, anda tidak pandai memasak dan mengharapkan orang lain memberi panduan mengenai bahan yang diperlukan untuk sesuatu masakan. Tetapi, orang yang anda harapkan itu tidak berada di sebelah anda.

Sebaliknya dia berada di satu sudut lain yang terhalang daripada penglihatan anda. Bagaimanapun, dia akan tetap membantu anda. Rakan anda akan dibekalkan dengan sebuah televisyen bersaiz 14 inci, manakala anda pula dikehendaki memakai kamera ‘bullet’ yang disematkan pada dahi.

Dari situ, rakan anda dapat melihat bahan yang perlu anda gunakan untuk memasak. Dia akan memberitahu mengenai bahan yang diperlukan serta langkah memasak dengan cara menjerit dari tempat kuarantin. Mungkin pembaca menyangka ini satu tugas mudah, tetapi setelah menonton program ini anda juga pasti akan merasakan perasaan gelabah dan kelam kabut.

Ini kerana, jeritan itu akan diganggu penonton, krew, pengacara iaitu Fat Phabe dan Rina Omar serta tidak terkecuali juri undangan yang akan membuat bising supaya anda tidak mendengar arahan rakan. Keadaan akan menjadi bertambah parah sekiranya suara rakan anda halus dan perlahan.

Semua kekalutan ini dapat disaksikan dalam sebuah rancang baru terbitan 8TV, Kan Cheong Kitchen. Program ini akan menemui penonton bermula Mei. Tajuk program ini saja sudah cukup untuk memberi gambaran betapa kelam kabut dan riuhnya program ini tatkala si amatur masuk ke dapur.

Setiap minggu, sebanyak dua kumpulan bakal ditampilkan. Mereka diberikan masa selama setengah jam untuk menyediakan masakan yang dikehendaki. Dalam episod yang membabitkan pasangan Iz dan Tiara (One In A Million) OIAM2 dan pasangan Farah Asyikin (OIAM1) dan Rina Azhar (OAIM2), mereka dikehendaki menyediakan gulai asam pedas ikan pari bersama bendi.

Sebelum cabaran masak bermula, peserta yang akan memasak diberikan pelbagai bahan termasuk yang tidak diperlukan untuk memasak asam pedas bertujuan untuk mengelirukan peserta. Apakah bahan yang diperlukan untuk memasak asam pedas ikan pari akan diberitahu rakan mereka.

Dalam masa 30 saat, mereka harus mengambil bahan seperti yang diberitahu. Apa saja bahan yang sempat mereka capai, harus digunakan. Sekalipun, jika bahan itu langsung bukan bahan untuk memasak asam pedas.

Penerbit dan Pengarah Kan Cheong Kitchen, Hasymee Latif Julaini berkata, peserta tidak hanya terdiri daripada selebriti tetapi turut membabitkan orang awam. Bagaimanapun, sebelum menyertai program ini mereka perlu melalui uji bakat bagi memastikan peserta yang dipilih langsung tidak mempunyai kebolehan memasak.

Menurut Hasymee, idea untuk menerbitkan program sebanyak 26 episod ini lahir daripada teamnya yang mahukan kelainan untuk program masakan serta sesuai untuk penonton 8TV yang terdiri dari golongan urban.

“Kami mahu lari daripada konsep program masakan tipikal yang terlalu ‘straight forward’ dengan menyuntik sesuatu yang lebih menyeronokkan. Menu yang diketengahkan setiap minggu adalah menu yang kita makan setiap hari. Sesekali mungkin kita mengetengahkan menu yang mungkin kedengaran hebat tetapi cara penyediaannya tidak sukar.

“Kan Cheong Kitchen bukanlah sebuah pertandingan tetapi kami mahu mengetengahkan program masakan yang menyeronokkan dengan sedikit elemen realiti,” katanya.

Rakaman untuk 26 episod program ini mengambil masa tiga minggu. Menurut Hasymee lagi, antara dua atau tiga episod rakaman dilakukan sehari tetapi ia bergantung kepada komitmen peserta.

Farah Asyikin yang berjaya menewaskan pasangan Iz dan Tiara, berkata dia melalui pengalaman menarik, walaupun mengakui agak gelabah.

“Saya memang tidak boleh bekerja dalam tekanan. Disebabkan itu apabila Fat Phabes dan Rina mengganggu saya, saya asyik menjerit. Bukan tidak biasa masuk dapur tetapi apabila berada dalam tekanan, semuanya menjadi kelam kabut,” katanya.

Bagi Iz pula, biarpun tewas kepada pasangan Farah Asyikin dan Rina Azhar, pengalaman menyertai Kan Cheong Kitchen sungguh menyeronokkan. Menurut Iz, dia memang tidak biasa masuk dapur menyebabkan dia agak kekok.

“Sesekali ada juga masuk ke dapur tetapi bukanlah untuk menyediakan menu yang berat. Lagipun saya tidak begitu dengar suara Tiara yang perlahan, jadi apa saja yang ada di depan mata saya gunakan saja untuk memasak asam pedas,” katanya.

Kan Cheong Kitchen akan menemui penonton pada setiap Jumaat, jam 9.30 malam bermula 9 Mei ini di 8TV.

Powered by Berita Harian

Leave a Reply