Oleh FAIZAL SAHARUNI

DOA Bienda agar kebahagiaan dan kesejahteraan sentiasa menjadi miliknya.
USAI sudah melalui episod getir yang datang menyapa kira-kira sebulan lalu, Bienda, 23, kini mengatur kemas langkahnya satu persatu dengan sepenuh keyakinan.
Enggan menoleh kembali sisi gelap itu, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Penantian nekad melayari kehidupan indahnya setelah selamat menjalani pembedahan baru-baru ini.
Anak dara manis milik penyanyi dangdut terkenal, Sheeda ini menganggap cubaan yang datang dari-Nya barangkali memberi seribu pengertian yang tidak terluah secara lahiriah.
Tidak henti-henti memanjat kesyukuran kepada Tuhan yang mengasihi hambanya yang kerdil ini, pemilik nama penuh Norrazlinda Razli menyedari ada hikmah di sebalik kesengsaraan yang ditanggung.
“Saya lihat apa yang menimpa ke atas diri saya sebagai satu rahmat tidak terhingga dari Allah.
“Ia menjadikan saya berani dan kuat berhadapan dengan badai yang melanda,” luah isi hatinya.
Bienda semakin bahagia
Selepas menjalani pembedahan menampal jantungnya yang berlubang pada 9 Januari
lepas di Pusat Perubatan Islam (Pusrawi) Kuala Lumpur, Bienda menjelaskan hidupnya semakin mengorbitkan sinaran cerah.
“Kalau boleh saya tidak mahu kenang perkara lalu. Cukuplah laluan berliku itu menjadi kenangan yang tersemat kukuh di hati.
“Saya ambil dugaan itu secara positif. Sebagai insan yang dilahirkan di muka bumi ini, kita ada banyak kekurangan,” akuinya telus.
Bienda menambah, selepas melewati tragedi itu, dia ibarat individu yang dilahirkan semula.
“Saya rasa segar dan tenang sangat, malah fikiran sudah tidak berserabut walau ada masalah yang hadir.
“Saya bersyukur kerana dikelilingi keluarga, sahabat-handai dan peminat yang rata-ratanya berfikiran positif.
“Ia umpama pembakar semangat untuk saya meneruskan hidup dengan lebih baik,” jawab Bienda berkobar-kobar.
Hikmah cukup bernilai
Tidak dapat disangkal lagi, setiap kegembiraan mahu pun kesukaran yang tertulis ada harga tersendiri yang perlu diterima dengan tangan terbuka.
TERHARU dengan sokongan peminat dan ahli keluarga.
Bagi Bienda, dia ‘menonton’ peristiwa getir itu melalui dua kelopak matanya sebagai mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan keikhlasan hati antara satu sama lain.
“Apabila saya menderita kesakitan, ramai saudara-mara baik jauh atau dekat yang sanggup berbuat apa saja demi saya.
“Lebih mengharukan, ada saudara daripada Kelantan yang sanggup melakukan solat hajat setiap hari semata-mata mahu melihat saya sembuh.
“Banyak yang berkorban untuk melihat kesejahteraan dan kebahagiaan saya,” sambungnya sedikit sayu sebagai tanda menghargai setiap usaha yang dibuat orang-orang di sekelilingnya.
Bienda menganggap itu merupakan anugerah tidak ternilai yang dimiliki apabila seluruh keluarga turut berkongsi kesedihan serta kesusahan yang menimpanya.
“Saya cukup terharu dan berterima kasih dengan bantuan mereka yang tidak jemu-jemu berdoa serta mengharapkan kesihatan saya kembali normal,” ucapnya jujur.
Mahu tingkatkan diri
Pantas menutup lembaran buku lama, Bienda bersungguh ingin merencana kerjaya seninya ke satu tahap yang membanggakan lagi.
“Saya berikrar untuk teruskan karier nyanyian dengan lebih baik dan jujur tanpa mengharapkan sebarang pembalasan,” sampuk Bienda.
Menyedari penulis kebingungan apa yang ditafsirkan dengan balasan yang terlahir dari bibir nipisnya, Bienda memberitahu: “Apa yang dilakukan dalam hidup, kita tidak boleh fikir tentang keuntungan semata-mata.
“Kalau kita ikhlas dan mengamalkan prinsip kesederhanaan setiap masa, ia bakal memberi lebih banyak rezeki.
“Cuma kita sebagai insan ordinari hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang menentukan semuanya,” bicara Bienda penuh maksud mendalam.
Mengambil iktibar dari masa lampaunya, Bienda tidak dapat menyembunyikan keterujaan untuk membabitkan diri dalam mana-mana majlis amal terutama berkaitan dengan penyakit jantung berlubang.
“Kalau ada sesiapa yang inginkan khidmat saya dalam acara kebajikan, saya sedia membantu.
“Saya tidak kisah untuk meluangkan sedikit waktu memberi pertolongan kepada individu yang memerlukan.
“Pernah berada di tempat mereka sebelum ini membuatkan saya tahu apa yang dirasakan.
“Justeru, inilah peluang terbaik untuk saya berkongsi kepayahan dan kesukaran dengan mereka,” katanya.
Motivasi dari Bienda
Bienda turut memperlihatkan minat yang begitu mendalam memberi ceramah buat pesakit jantung berlubang khasnya kanak-kanak.
“Saya bersedia memberi motivasi atau kata-kata perangsang kepada pesakit ini terutamanya budak kecil.
“Cuma untuk orang dewasa, rasanya saya masih belum ada keberanian kerana faktor usia dan tahap psikologi yang berbeza.
“Lagi pun pengalaman saya tidaklah banyak jika mahu dibandingkan dengan pesakit lain yang lebih kronik.
“Namun, saya tidak kisah sekiranya ada yang sudi mendengar cerita saya bertarung nyawa melawan penyakit ini,” ungkapnya sambil tertawa manis.
Kosmo
Saya juga pernah menjalani pembedahan jantung berlubang.Umur 30 tahun baru dapat dikesan.Itupun setelah saya menjalani pemeriksaan semasa mengandungkan anak kedua.selepas bersalin, saya menjalani pembedahan. Walaupun sudah dua kali saya bersalin caeser,namun kesakitan selepas menjalani pembedahan jantung amat ketara.saya tidak terbayang begitu sekali kesannya.keluar sahaja dari icu untuk menunggu masuk wad semula,tulang rusuk yang dipotong(jantung terselindung di sebalik tulang rusuk) mula terasa pedih.6 minggu terpaksa tidur telentang.Hampir tiga minggu tidak boleh tidur nyenyak.Sekiranya batuk,memang terasa sakit.Alhamdulillah…kini saya seperti Bienda,sudah sihat dan dapat bekerja macam dulu.