Tragedi Nurin Guris Adibah Noor
Oleh: WANDA IDRIS
|
|
|
HANYA air mata yang mengiringi raungannya pada saat dia mengetahui keputusan ujian DNA kanak kanak yang mati akibat penderaan seks tragis itu ialah Nurin Jazlin Jazimin.
Tidak terungkap kesedihan itu dengan kata-kata malah hati tertanya-tanya mengapa tergamak manusia memperlakukan kanak-kanak sekecil itu dengan perbuatan yang lebih hina daripada seekor binatang.
Sudahlah usianya baru sahaja menjangkau lapan tahun, menghidap pula penyakit kronik, tidak terbayang oleh Adibah bagaimana sengsaranya hidup Nurin sepanjang hampir sebulan dia ‘disorok’ oleh mereka yang tiada jiwa manusia.
Sehingga hari ini, Adibah Noor mengakui terus terbayang-bayang wajah comel adik Nurin saat jantungnya masih berdenyut dan wajah kurus keringnya jika memperkatakan tentang kematian tragisnya.
Bagi penyanyi itu, mereka yang melakukan perbuatan keji tersebut adalah seorang manusia normal yang mempunyai fikiran waras, tidak oleh seorang yang mempunyai jiwa kacau seperti yang digembar-gemburkan.
Alasan Adibah mudah, jika tidak, takkan dia mampu dan pintar untuk berfikir mencari beg, melipat kakinya hingga ke dada dan kemudian meletakkan beg itu di tempat yang boleh ditemui orang.
“Sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan keji itu ketika ini mungkin sedang mendabik dada berbangga dengan perbuatannya,” ujar Adibah.
Pada Adibah, mungkin mereka yang melakukan pembunuhan kepada Nurin seorang yang sudah tidak punya jiwa dan hanya tahu untuk memuaskan nafsu serakah mereka semata-mata.
“Mereka ini tidak lagi kisah tentang undang-undang, jauh sekali Tuhan. Mungkin bagi mereka semua itu tidak wujud. Bagi mereka, apa yang memuaskan ialah melihat seorang kanak-kanak menjerit kesakitan dan terseksa dengan penderaan yang dilakukan. Mereka ini jauh lebih hina daripada binatang,” katanya.
Ya, itulah amarah Adibah terhadap perbuatan keji lagi tidak berperikemanusiaan terhadap seorang kanak-kanak yang hadirnya ibarat kain putih hanya semata-mata untuk mendapatkan keseronokan.
Malah Adibah Noor sebenarnya bukanlah sesiapa kepada keluarga Nurin, jauh sekali mempunyai pertalian dan hanya sekadar orang luar yang tidak pun mengenali mereka.
Namun sebagai manusia, Adibah juga punya perasaan dan perasaan itu sama seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain yang hanya mengutuk perbuatan keji itu.
Mungkin sahaja jiwa halusnya mudah tersentuh dengan kisah kanak-kanak yang melibatkan penderaan seks, dirogol, diliwat dan dibunuh.
Dan Adibah sendiri mungkin begitu prihatin dengan kanak-kanak sementelah dia sendiri sebelum ini pernah bergelar seorang guru dan rapat dengan kanak-kanak.
Dengarkan sendiri isi hatinya terhadap kanak-kanak ketika menghasilkan lirik lagu Terlalu Istimewa yang ditujukan khas kepada kanak-kanak malang seperti Nurin.
Lagu dengan melodi indah ciptaan Azlan Abu Hassan yang diinspirasi daripada kejadian malang yang menimpa adik Nurulhuda tentu sahaja mampu menginsafkan sesiapa yang menyelami liriknya.
Terbayang wajah anak dengan keletahnya yang memerlukan perhatian kita. Dan kesibukan kita sebagai ibu atau ayah yang bekerja dan dalam masa yang sama lelah menguruskan rumah tangga, mungkin keperluan mereka untuk dibelai sering terabai.
Malah mungkin dimarahi lagi kerana mengganggu kesibukan duniawi kita. Sebenarnya mungkin dengan kesudian kita mendengar ceritera mereka sudah mampu membuat mereka tersenyum sepanjang hayat mereka. Sementelah mereka masih sudi dipinjamkan oleh Allah s.w.t. kepada kita.
Malah secara simboliknya lagu Terlalu Istimewa bagi penyanyi bersuara indah itu diharap mampu menyampaikan mesej kepada orang di luar sana agar menjaga anak mereka atau mengambil tahu tentang anak-anak sesiapa sahaja supaya kes seperti Nurin dan kanak-kanak lain yang dirogol dan dibunuh dapat dibendung.
“Tidak akan ada lagu lain, Terlalu Istimewa adalah lagu yang saya dedikasikan untuk mereka, anak-anak yang tidak berdosa yang mati di tangan mereka yang tidak ada sifat kemanusiaan lagi,” ujarnya.
Lupakan siapa yang betul, siapa yang salah sebaliknya marilah kita sama-sama berdoa agar si pembunuh kejam itu tertangkap.
“Ini bukan masa menuding jari mencari kesalahan siapa. Tapi masa untuk bersama-sama memohon kepada Tuhan yang Esa agar si pembunuh kejam itu tertangkap akhirnya,” kata Adibah.
“Hati saya pilu dan sayu mengenangkan adik Nurin. Dia seorang kanak-kanak yang cantik. Tapi mengapa ada manusia yang tergamak menyakiti dan menyeksanya? Saya masih ingat, ketika gambarnya disiarkan di akhbar, saya sedang menjalani penggambaran program Sukaria Raya Bersama KFC bersama-sama Ezlyn.
“Ketika menatap wajah kurus keringnya itu, Ezlyn kata lihatlah bulu matanya yang seakan-akan basah kerana air mata. Mungkin dia menangis atau terseksa.
“Saya pada awalnya tidak begitu mengikuti perkembangan kehilangan adik Nurin sehinggalah berita penemuan mayatnya itu.
“Ya! Saya benar-benar sedih… Tapi apa yang mampu saya lakukan. Malah sebenarnya saya kagum dengan ibu bapanya kerana begitu tabah mengharungi dugaan ini,” katanya yang hanya mampu menghadiahkan doa bagi kesejahteraan Nurin ‘di sana’.
“Pergi dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan, dia sudah pasti tempatnya di sana,” kata Adibah lagi.
Namun Adibah juga mengharapkan dalam kita penuh beremosi dengan kes Nurin, janganlah hendaknya apabila penjenayahnya tertangkap, kita melupakan undang-undang.
“Memang perbuatannya itu sungguh kejam tapi janganlah kita pula terlalu emosional. Kita ada undang-undang dan biarlah dia mendapat hukuman setimpal, ” ujar Adibah lagi.
Powered by Utusan Malaysia