Tiara Dan Kisah P.Ramlee



Oleh: WANDA IDRIS

SUDAH memasuki Istana Budaya untuk menjalani latihan akhir, hanya tinggal kira-kira tiga minggu lagi kisah hidup P. Ramlee akan dipentaskan. Ya! Kisah hidup seorang Seniman Agung akan ditampilkan secara muzikal di sebuah dewan berprestij bermula 18 Oktober ini sehingga 3 November nanti.

Orang selalu melihat watak-watak P. Ramlee di layar sebagai Pak Belalang dalam Nujum Pak Belalang, Labu (Labu Labi), Kassim Selamat (Ibu Mertuaku) mahupun Ramli (Bujang Lapok).

Tapi berapa ramai yang tahu tentang dirinya sebagai manusia biasa yang punya hati, perasaan, kegembiraan dan kekecewaan?

Itulah yang bakal diungkaikan oleh pementasan P. Ramlee The Musical… The Life, The Love and The Inspiration yang dibawakan oleh produksi Enfiniti Production yang sebelum ini pernah mencipta fenomena dengan pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical.

Mengapa P. Ramlee? Jawapan yang diberikan Penerbit Eksekutifnya, Datin Seri Tiara Jacquelina mudah saja. Dia tidak mahu akhirnya nama seorang legenda hilang begitu sahaja.

Hilang dan dilupakan oleh generasi muda yang mungkin hanya akan tahu lagu dan filemnya tanpa mengetahui siapa dirinya yang sebenar dan kisah perjuangannya sehingga berjaya menjadi legenda dan diangkat sebagai Seniman Agung dunia perfileman Melayu.

“Ia juga diharap mampu memberi pengajaran kepada kita sebagai anak seni untuk mengharungi dunia penuh pancaroba dan cabaran ini,” kata Tiara lagi saat ditemui selepas majlis pengumuman penajaan oleh satu lagi syarikat, Berjaya Corporation Berhad untuk pementasan tersebut petang Rabu lalu.

“Hanya dengan mengetahui kisah hidup dan perjuangannya mungkin baru kita akan memahami mengapa dia mampu menjadi seorang yang hebat seperti yang kita ketahui hari ini,” tambah Tiara.

Berjaya dengan pementasan lalu, Tiara mengakui gementar menanti reaksi penggemar teater tempatan terhadap produknya kali ini. Pun begitu, dalam masa yang sama, dia sendiri teruja kala mengetahui tiket penjualannya sudah 42 peratus telah terjual.

“Ini produksi yang sebenarnya jauh lebih besar daripada Puteri Gunung Ledang The Musical. Pelakonnya sahaja membabitkan 45 orang termasuk pelakon utama selain 42 ahli muzik dengan 12 set pentas yang berbeza,” jelas Tiara.

* Fakta dan fiksyen

Masih mengangkat Zahim al-Bakri sebagai pengarah, Adlin Aman Ramlie (penulis skrip) dan Pat Ibrahim (koreografer), latihan bagi pementasan itu sudah berjalan sejak pertengahan Julai lalu.

Kali ini didukung oleh Boudeng Edruce sebagai penerbit, P. Ramlee The Musical… The Life, The Love and The Inspiration turut ditangani pengarah muzik terkenal Indonesia, Erwin Gutawa.

Menurut Tiara, Erwin sendiri begitu teruja dengan kolaborasi itu kerana kagum dengan manusia bernama penuh Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh itu.

Menyingkap kisah ikon sebenar dunia seni tempatan, kisahnya bermula tahun 1948 sehinggalah akhir hayat P. Ramlee pada 1973.

Pada majlis itu, wakil media yang hadir sempat dibawa meninjau latihan oleh beberapa pelakon utamanya seperti Sean Ghazi, Liza Hanim dan Melissa Saila di bawah pimpinan Zahim untuk babak pertemuan Norizan dan P. Ramlee dengan Run Run Shaw dan Run Me Shaw.

Ia melibatkan latar sekitar tahun 1955 iaitu pada waktu P. Ramlee baru sahaja bernikah dengan Norizan dan memulakan kerjayanya dalam bidang pengarahan untuk filem pertamanya, Penarik Beca.

“Terdapat fakta dan fiksyen dalam setiap babak yang kita paparkan. Babak ini merupakan antara babak besar dalam pementasan itu nanti,” kata Zahim menjelaskan mengenai latihan tersebut.

Menurut pengarah itu lagi, pementasan kali ini melibatkan unsur sinema dengan teknik imbas semula.

“Kisah bermula pada tahun 1973, pada saat-saat akhir kehidupan beliau di mana beliau mengimbau kembali perjalanan hidupnya,” kata Zahim.

Bakal memasuki panggung (untuk raptai akhir) pada 29 September ini, kumpulan itu akan mengadakan latihan bersama orkestra penuh bermula 1 Oktober sebelum berhenti rehat bagi cuti Hari Raya selama tiga hari.

* Sean Ghazi, Liza Hanim & Melissa Saila

Didukung Sean Ghazi sebagai P. Ramlee, Liza Hanim (Saloma) dan Melissa Saila (Norizan), tentu sahaja pembabitan julung kalinya Datuk Siti Nurhaliza di pentas lakonan sebagai Azizah dinantikan. Malah Tiara sendiri mengakui lagu-lagu bagi babak Azizah yang dilontarkan Siti Nurhaliza amat merdu selain lagu-lagu Atilia yang membawakan watak Junaidah yang dianggapnya begitu jujur serta gemersik suara Liza Hanim yang menyentuh jiwa.

Mereka ini adalah wanita-wanita penting dalam kehidupan P. Ramlee yang bakal memberikan impak bukan sahaja kepada kisah hidup P. Ramlee tetapi juga kejayaan pementasan itu nanti.

Liza dan Sean khabarnya berjaya menginterpritasikan watak Saloma dan P. Ramlee dengan baik sekali sehingga Tiara sendiri menganggap mereka itu jelmaan P. Ramlee dan Saloma.

Malah percaturan watak Norizan di tangan Melissa Saila adalah tepat memandangkan dia sendiri ‘dekat’ dengan seniwati itu kerana sebagai anak Mariani iaitu kakak Saloma serta pernah sama-sama berjuang dalam bidang perfileman di era Studio Jalan Ampas.

“Ini pementasan muzikal pertama saya dan saya akui gementar. Lebih-lebih lagi tarikh pementasannya semakin dekat dan reputasi Enfiniti itu sendiri membuatkan saya perlu memberikan hasil seperti standardnya.

“Sebagai Norizan, saya adalah seorang wanita yang tabah, penting dalam kehidupan P. Ramlee dan semasa perkahwinan mereka, kerjaya P. Ramlee berada di kemuncak untuk buat pertama kalinya bergelar sutradara. Beliau dianggap sebagai watak utama yang menguruskan P. Ramlee.

“Saya pernah bertemunya pada tahun 80-an dan mengenali beliau sebagai seorang wanita yang baik hati, selalu tersenyum tetapi agak pendiam. Dia juga berbadan besar berbanding diri saya.

“Namun saya tidak mahu menjadi dirinya tetapi cuba membawakan gaya dan sikapnya di pentas. Cabaran saya adalah kerana harus menyanyi dan menari,” kata Melissa.

Katanya lagi, berbanding Junaidah yang sentiasa merasakan tidak yakin dengan diri, perceraian Norizan dengan P. Ramlee pula berikutan keinginannya yang besar dan tidak mampu diikuti oleh P. Ramlee.

Sean pula sentiasa menjadikan pengarah dan penulis skripnya sebagai tempat rujukan bagi mendapatkan ‘wajah sebenar’ P. Ramlee kerana merasakan mereka lebih mengetahui apa yang mereka diingini.

“Semua orang ada idea mengenai P. Ramlee tetapi hanya pengarah dan penulis skripnya yang tahu apa kehendak mereka terhadap watak itu. Oleh kerana ia sebuah pementasan muzikal, genre lagunya tidak sahaja melibatkan era P. Ramlee tetapi juga moden dengan sentuhan pop dan asli dan ia tentunya sesuatu yang menarik,” ujar Sean yang turut mendapatkan latihan untuk lenggok bahasa Pulau Pinang daripada Juita Abdul Jalil selain memberitahu transformasi usia P. Ramlee daripada anak muda berusia 19 tahun hingga kepada usia 44 tahun memberinya satu cabaran merealisasikan watak Seniman Agung itu.

Powered by Utusan Malaysia

Leave a Reply