Oleh: KHADIJAH IBRAHIM
BILA sebut nama Din CJ tentu ramai yang tidak mengenalinya tetapi bila bercakap tentang drama bersiri Cinderella yang sudah beberapa kali ditayangkan di TV3 tentu ramai yang mengetahuinya.
Drama 24 episod lakonan Haliza Misbun dan Ahmad Idham yang diarahkannya pada tahun 1998 bukan sahaja berjaya menarik hati penonton malah drama itu jugalah yang telah mempopularkan nama Din CJ atau nama sebenarnya Nordin Wahab, 40 tahun.
Sejak kejayaan drama itu, Din bukan sahaja menjadi perhatian penerbit malah dia juga menarik hati pelakon baru yang cuba mencari tapak dalam bidang lakonan.
“Saya pernah dimaki kerana menolak tawaran seorang pelakon baru yang mahu menyerahkan bodynya kepada saya semata-mata mahu mendapat peluang berlakon. Pada saya kalau setakat ada rupa tapi tidak ada bakat tidak guna.
“Lainlah kalau orang itu ingin belajar. Jadi janganlah terlalu percaya dengan cerita yang bukan-bukan kononnya kalau mahu berlakon mesti tidur dengan pengarah. Sekarang ini orang nilai bakat seni dan bukan bakat lain,’’ katanya penuh makna.
Menurut Din, walaupun pengalaman itu kadangkala membuatkan dia terkilan tetapi dia tabah menghadapinya.
Bercakap mengenai Cinderella terbitan Kuasatek Pictures yang telah mengenalkan namanya, Din berkata;
“Walaupun penonton sedikitpun tidak pernah kisah siapakah pengarah drama tersebut yang merupakan tulang belakang kejayaan Cinderella, saya tidak kecil hati.
“Namun secara peribadi sebagai pengarah saya bangga kerana drama arahan saya mendapat sambutan ramai. Drama ini menjadi titik permulaan karier saya biarpun sebelum ini saya pernah mengarah beberapa drama lain.”
Sebuah lagi karya arahan Din CJ yang berjaya mempopularkan namanya ialah drama Romeo & Juliet lakonan Ahmad Idham dan Umie Aida yang diterbitkan oleh Kuasatek. Drama lain arahannya di bawah syarikat tersebut ialah Bigami, Bigami 2, Virus dan Virus 2.
Sebelum Cinderella, Din menggunakan nama sebenar Nordin Wahab dengan drama pertama arahannya Rahimah untuk siaran RTM.
Sebelum berpeluang menjadi pengarah, dia menjadi penolong pengarah kepada Harun Mohd. Dom, Megat Saiful Bahari, M.Amin dan Majid Salleh. Sehingga kini jasa mereka yang banyak membantunya menimba ilmu dalam bidang pengarahan tetap dikenang.
“Saya tidak pergi mana-mana sekolah seni seperti pengarah lain. Semua ilmu pengarahan, saya timba daripada pengarah berpengalaman dan menerusi mereka, saya mendapat kepercayaan dan keyakinan untuk mengarah,’’ katanya terus terang.
Menceritakan mengenai pembabitannya dalam bidang seni, Din CJ yang berasal dari Kampung Batu 6, Changkat Jering, Perak itu bermula sebagai teknikal krew produksi pada tahun 1989 dengan syarikat Pyramid Home Video, Brickfields, Kuala Lumpur.
Selepas itu dia mencuba nasib di Take One Production pula. Di syarikat ini dia berpeluang menimba pelbagai ilmu sehinggalah ke jawatan penolong pengarah.
“Apa kerja yang saya tidak buat? Semuanya telah saya lakukan tanpa membantah. Dari situlah saya banyak belajar dan alhamdulillah bila sudah menjadi pengarah saya tahu semua perkara,’’ katanya yang pernah menjadi hero drama Obses, arahan Majid Salleh.
Din yang merupakan anak ketiga daripada enam beradik itu mula berhijrah ke Kelang, Selangor pada tahun 1984 untuk bekerja di MISC, Pelabuhan Kelang.
Sewaktu di MISC, dia turut menyertai Grup Teater Shah Alam dan sering menjadi orang hadapan setiap kali MISC mengadakan persembahan makan malam.
“Sewaktu bersama Grup Teater Shah Alam, saya juga aktif sebagai penari dalam kumpulan itu. Kumpulan kami pernah menari selama tiga tahun (1986 – 1989) di Hotel Dayang,’’ katanya sambil tersenyum.
Din yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Tengku Menteri, Changkat Jering, Perak itu berkata, bidang seni menjadi pilihan kerana bidang tersebut memberi keuntungan.
Ternyata kesungguhan Din yang merupakan suami kepada Norlina Mat Rifin, 40, dan ayah kepada Nornafiz Atiqah, 12, Nornafiz Athirah, 9 dan Nornafiz Izzara, 4, itu telah membolehkan dia membuka syarikat Win Star Film Production bersama seorang rakan kongsi.
Syarikat yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu telah pun menerbitkan telefilem cakera padat video berjudul Snow White – Pudarnya Suria, lakonan Lisdawati, Rusdi Ramli dan Hani Mohsin.
“Ramai yang tanya kenapa saya tidak arah filem lagi selepas Mr. Cinderella 2. Pada saya kalau ada skrip yang bagus barulah saya akan mengarah. Sementara menunggu skrip itu biarlah saya arah drama produksi lain,’’ katanya yang baru selesai mengarah drama Janjiku 2, lakonan Serina, Janet Khoo dan Razali Alias.
Din yang kini sering berulang alik ke Sabah kerana mengarah drama terbitan produksi di sana berkata, dia juga mendapat tawaran mengarah drama terbitan Singapura.
Powered by Utusan Malaysia