Oleh: WANDA IDRIS
|
|
|
BEGITU ramah penerbit filem Ruhani Abdul Rahman dan anaknya, Syanie menyambut tetamu yang hadir ke rumah terbuka syarikat mereka baru-baru ini.
Diadakan di kediaman mereka di Damansara Indah Resort Homes, Petaling Jaya, antara yang hadir termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Siti Azizah Abod.
Turut kelihatan ialah para pengarah, pelakon dan penyanyi tanah air seperti Erra Fazira, Hans Isaac, Umie Aida, Rosyam Nor, Juliana Banos, Aziz M. Osman dan isterinya Nor Aliah (Vee), Ziela Jalil dan Eizlan Yusof.
Namun dalam kesibukan melayan tetamu, Syanie yang juga Pengurus Operasi syarikat penerbitan filem milik ibunya itu sempat bercerita tentang perancangan Nizarman Sdn. Bhd. yang telah 21 tahun bertapak dalam dunia perfileman.
Terkini tentunya mempromosikan filem terbaru syarikat itu, Persona Non Grata, yang dibintangi Erra Fazira dan Hans Isaac.
Kata Syanie, pihaknya baru sahaja selesai menyiapkan rakaman lagu-lagu filem tersebut yang diterbitkan oleh Megat Azuar termasuk lagu temanya berjudul Hanya Untukmu yang dinyanyikan oleh juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Mawi.
Malah Syanie sendiri menyampaikan sebuah lagu solo berjudul Keliru bagi dimuatkan dalam filem tersebut.
“Selain Mawi dan saya, turut terlibat ialah Mel untuk lagu Kemarau Yang Panjang dan Shamsul Cairel bagi lagu Mungkin Ku Bermimpi.
“Kita sebenarnya merancang untuk bekerjasama dengan Erra dalam satu lagu. Malangnya apabila lagu siap, keynya didapati tidak kena dengan Erra, jadi kami terpaksa gantikan dengan lagu Shamsul Cairel.
“Berkenaan pemilihan Mawi untuk menyanyikan lagu tema Persona Non Grata pula, bukan saja popularitinya membuatkan kami berminat untuk mendapatkan khidmat Mawi tetapi juga kerana kami memerlukan suara lantangnya untuk lagu Hanya Untukmu,” jelas Syanie sambil memberitahu pihaknya akan menghantar filem itu untuk proses adunan dan cetakan di Bangkok dalam masa terdekat ini.
“Jika tiada aral melintang, insya-Allah pada Mac depan Persona Non Grata akan menemui penonton,” tambahnya.
Syanie memberitahu, Nizarman masih belum mempunyai rancangan untuk menghasilkan album runut bunyi filem tersebut.
Buat album solo
“Bagaimanapun, saya akan menjadikan lagu dendangan saya dalam filem itu iaitu Keliru sebagai lagu bonus bagi album saya yang dijadualkan dipasarkan Januari depan,” kata Syanie.
Album solo itu sudah lama selesai pembikinan dan hanya menanti masa untuk dipasarkan.
Album yang diberi judul Kerana-Nya itu diterbitkan oleh Stone daripada kumpulan Barongan.
“Saya bukan tidak mahu memasarkannya awal tapi tahu sahajalah, sekarang ini demam Mawi, jadi lebih baiklah ditangguhkan dulu pelancarannya.
“Selain itu, saya juga mempunyai sedikit masalah mencari pengedar bagi album tersebut,” ujarnya.
Syanie percaya ramai peminat akan tertanya-tanya mengapa dia menghasilkan album, apalagi album berkonsepkan pop, sedangkan dia lebih popular sebagai pelakon komedi.
“Ia adalah satu sisi lain saya yang tidak dikenali orang sebelum ini. Saya harap peminat boleh menerimanya,” kata Syanie yang memang meminati bidang nyanyian sejak kecil.
Jalan filem Persona Non Grata
* Persona Non Grata adalah istilah bahasa latin yang bermaksud mereka yang tidak dikehendaki.
* Filem tersebut mengisahkan tentang seorang pelarian. Pelarian Hu ialah seorang lelaki yang tidak lagi dikehendaki di negaranya. Dia bertemu dengan seorang pelukis yang mengalami kemalangan dan akhirnya jatuh cinta.
* Selain Erra Fazira dan Hans Isaac, turut membintangi Persona Non Grata ialah beberapa pelakon dari Singapura dan Thailand.
* 70 peratus penggambarannya dilakukan di Bangkok, Thailand manakala selebihnya di Malaysia.
* Filem itu turut dijangka ditayangkan di Thailand dan akan dijual untuk pasaran antarabangsa.
* Untuk merealisasikan watak pelukis, Erra Fazira diajar oleh seorang pelukis Thailand bernama Vinit Ttana.
Powered by Utusan Malaysia